SIPITANG: 13 Jun 2026 – Era bekalan elektrik yang lebih stabil dan berdaya tahan di Sabah semakin hampir menjadi kenyataan setelah Projek Sabah Southern MADANI Link dilancarkan hari ini, sekaligus membuka lembaran baharu dalam usaha mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik yang memberi kesan kepada rakyat, perniagaan dan sektor industri wilayah.
Projek berkenaan dijangka memperkukuh sistem penghantaran elektrik Sabah melalui jaringan grid yang lebih kukuh, selain meningkatkan kebolehpercayaan bekalan tenaga bagi memenuhi keperluan pembangunan yang semakin pesat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Southern MADANI Link merupakan antara projek infrastruktur tenaga paling penting bagi Sabah kerana ia bukan sahaja meningkatkan kestabilan bekalan elektrik, malah menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi Sabah pada masa hadapan.
Menurutnya, sistem tenaga yang lebih mantap amat diperlukan untuk menyokong pelbagai sektor strategik termasuk pembuatan, minyak dan gas, pemprosesan hiliran, pelancongan, pertanian moden dan pembangunan pusat data dan industri berteknologi tinggi yang semakin berkembang di Sabah.
Pelaksanaan projek berkenaan dijangka memberi manfaat langsung kepada rakyat setelah risiko gangguan bekalan elektrik dapat dikurangkan dan menjamin kelancaran aktiviti harian, operasi perniagaan dan penyampaian perkhidmatan penting di seluruh negeri.
“Bekalan elektrik yang stabil bukan sekadar keperluan pembangunan, tetapi asas kepada kesejahteraan rakyat dan kemajuan Sabah secara menyeluruh,” katanya.
Projek berkenaan akan memperkukuh keupayaan Sabah untuk menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing, terutama di kawasan perindustrian strategik seperti Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP), Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) dan Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Lahad Datu yang memerlukan bekalan tenaga yang stabil dan mencukupi.
Hajiji berkata, pembangunan sektor tenaga kini menjadi antara keutamaan kerajaan negeri kerana bekalan elektrik yang kukuh merupakan tunjang kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa Sabah mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab tenaga hijau di Borneo menerusi sumber hidro, solar dan biojisim yang melimpah, dengan Southern MADANI Link bakal memainkan peranan penting dalam mengintegrasikan lebih banyak sumber tenaga boleh diperbaharui ke dalam sistem grid negeri pada masa hadapan.
