KOTA KINABALU: 26 November 2025 – SM Lok Yuk Kota Kinabalu (CF) bakal mengadakan acara pengumpulan dana terbesar mereka, SM Lok Yuk Gala Nite & Borneo Got Talent 2026, pada 30 Januari 2026, jumaat dari jam 6.00 petang hingga 11.00 malam di Dewan Hakka anjuran Lembaga Pengelola Sekolah dengan sokongan penuh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai usaha rasmi mengumpul dana pembangunan fasiliti sekolah.
Program terkemuka itu bertujuan membiayai pembelian dan pemasangan skrin LED baharu serta sistem audio visual (AVA) di dewan sekolah sebagai naik taraf penting bagi memastikan kemudahan tersebut lebih berfungsi untuk pembelajaran, acara rasmi dan program kokurikulum, sekali gus memberi manfaat kepada hampir 2,000 murid SM Lok Yuk.

Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, Mr. Jimmy Chu, berkata acara itu bukan sekadar pengumpulan dana, tetapi juga pemangkin pembangunan bakat belia Sabah.
“Kami mahu memberi peluang kepada golongan belia yang mempunyai bakat unik di Sabah dengan menggunakan dewan SM Lok Yuk. Oleh itu, kami perlu melengkapkan dewan ini dengan skrin LED dan sistem AVA yang baik supaya kami dapat menganjurkan acara ini setiap tahun,” jelas beliau.

Sebagai persediaan, sesi uji bakat Borneo Got Talent telah diadakan di SM Lok Yuk Kota Kinabalu (CF) dengan penyertaan seramai 55 peserta yang bertanding dalam empat kategori iaitu nyanyian, peragaan fesyen, tarian dan bakat unik bagi menonjolkan kreativiti mereka serta mengasah bakat dalam suasana profesional dan kompetitif.
Peserta yang berjaya akan meneruskan saingan ke peringkat Separuh Akhir (Semi Final) yang dijadualkan berlangsung pada 19 Disember 2025 sebelum mara ke Grand Finale semasa Gala Nite kelak.

Dengan gabungan persembahan gala, pertandingan bakat, penglibatan komuniti serta objektif kebajikan pendidikan, SM Lok Yuk Gala Nite & Borneo Got Talent 2026 dijangka menjadi antara acara paling dinanti masyarakat setempat, dan penganjur berharap sokongan berterusan daripada komuniti, alumni serta rakan penaja dapat membantu merealisasikan projek pembangunan yang amat diperlukan itu.
