Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
SHAH ALAM: 9 September 2026 – Skuad Para Tenpin Boling Sabah terus mencuri tumpuan di Para SUKMA XXII Selangor 2026 apabila mengutip empat pingat emas dalam tempoh dua hari saingan di Sunway Megalanes.
Emas terbaharu disumbangkan pasangan Azuan Amirhassan bersama Muhammad Azri Azman menerusi acara beregu terbuka dengan catatan 1,634 jatuhan pin.
Sabah mengatasi Sarawak yang mengumpul 1,606 pin, manakala Pahang meraih gangsa dengan 1,544 pin.
Azuan menyumbang 641 pin, sementara Azri mengumpul 993 pin untuk membantu Sabah menjuarai acara berkenaan.
Kejayaan itu memperbaiki pencapaian mereka pada Para SUKMA Sarawak 2024 apabila meraih pingat perak dalam acara beregu.
Sehari sebelumnya, Azuan membuka koleksi emas Sabah menerusi acara Perseorangan Campuran Terbuka TPB1 selepas mencatat 628 pin. Rakan sepasukan, Rollen Marakim meraih gangsa dengan 565 pin.
Azri kemudian muncul juara Perseorangan Lelaki TPB3 dengan 1,162 pin selepas mengatasi Mohamad Hafis Mohamad Ali dari Pahang yang mencatat 971 pin.
Muhammad Haiqal Azani melengkapkan tiga emas pada hari pertama selepas menjuarai Perseorangan Campuran Terbuka TPB2 dengan 990 pin.
Dalam acara Perseorangan Wanita TPB3, Athirah Azman menyumbang perak dengan 811 pin, manakala Rollen meraih gangsa acara TPB1.
Sumber: Majlis Sukan Negeri Sabah

