Oleh: Nurul Fazliana Norman
PUTRAJAYA: 22 September 2026 – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bekerjasama dengan agensi berkaitan dan penyedia perkhidmatan electronic Know Your Customer (eKYC) untuk mengemas kini sistem pengesahan identiti susulan pengeluaran MyKad Generasi Baharu sejak 17 September 2026.
Langkah itu diambil selepas sebahagian pemilik MyKad Generasi Baharu menghadapi kesukaran menjalani pengesahan identiti menerusi eKYC.
“Penyedia perkhidmatan eKYC sedang mengemas kini sistem masing-masing untuk membolehkan reka bentuk dan ciri MyKad Generasi Baharu dikenal pasti dalam proses verifikasi,” menurut JPN.
JPN memaklumkan pihaknya menyediakan maklumat yang diperlukan dan memantau pelaksanaan kemas kini itu untuk mempercepatkan penyesuaian sistem.
Pengguna yang menghadapi masalah diminta merujuk institusi atau penyedia perkhidmatan berkenaan mengenai kaedah pengesahan alternatif sementara kemas kini diselesaikan.
MyKad Generasi Baharu memperbaiki struktur, reka bentuk, teknologi dan ciri keselamatan untuk meningkatkan perlindungan identiti rakyat.
“JPN akan terus memantau perkembangan proses kemas kini dan bekerjasama dengan agensi lain dan penyedia perkhidmatan berkaitan sehingga penyesuaian sistem selesai,” katanya.
Agensi dan penyedia eKYC yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi JPN menerusi e-mel commandset@jpn.gov.my.

