KOTA KINABALU: 17 September 2025 – Sipitang menjadi daerah terbaharu diisytiharkan sebagai kawasan bencana selepas hujan berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan banjir dan tanah runtuh.
Pengisytiharan itu dibuat oleh Pegawai Daerah, Abd Karim AM Zahari selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), berkuat kuasa jam 8 pagi.
Dengan perkembangan terbaharu itu, kini enam daerah di Sabah terjejas akibat bencana iaitu Beaufort, Penampang, Membakut, Papar, Putatan dan Sipitang.
Sehingga jam 8 pagi, seramai 2,897 mangsa dipindahkan ke 23 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah.
Membakut mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 931 orang, diikuti Penampang (809), Putatan (559), Papar (317) dan Beaufort (281).
Secara keseluruhan, 108 kampung dikenal pasti terkesan, dengan Beaufort merekodkan kawasan paling banyak terjejas iaitu 46 kampung, diikuti Penampang (24), Papar (20), Membakut (9) dan Putatan (8).
Sumber: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD)
