KOTA KINABALU: 3 Ogos 2026 – Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyerahkan bantuan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) bernilai RM30,600 kepada 102 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di Tawau, baru-baru ini.
Setiap keluarga menerima RM300 bagi meringankan beban mereka. Sumbangan disampaikan melalui Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said.
Hajiji merakamkan penghargaan kepada semua petugas pengurusan bencana termasuk APM, PDRM, JBPM, KKM dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau atas komitmen sepanjang operasi menyelamat dan pengurusan pusat pemindahan.
“Kerjasama semua pihak memastikan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara,” katanya.
Banjir tersebut menjejaskan 362 mangsa terdiri daripada 217 dewasa, 109 kanak-kanak, 28 warga emas dan lapan bayi, yang dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau sebelum dibenarkan pulang selepas keadaan pulih.

