Seri dengan Josephine, Impian WBC kekal membara – Meredy

WhatsApp Image 2026 07 18 at 9.27.42 PM 1 e1784381523304

Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim

PUTATAN: 18 Julai 2026 – Petinju profesional Sabah, Meredy Michael, menganggap keputusan seri menentang Josephine Pui Yin dalam kategori Minimumweight pada BAM Championship di Dewan Tertutup Putatan semalam sebagai pengalaman berharga yang menguatkan semangatnya untuk terus mengejar impian bergelar juara dunia.

Meredy menegaskan keputusan itu tidak mematahkan semangatnya kerana pertarungan tersebut memberi banyak pengajaran, selain membuktikan masih terdapat ruang untuk memperbaiki prestasi pada masa hadapan.

“Saya sangat gembira dan bersyukur. Yang penting saya okey, lawan saya pun okey,” katanya.

Meskipun terikat dengan keputusan seri, Meredy tetap berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan sepanjang pertarungan.

“Saya rasa saya boleh tingkatkan lagi prestasi, tetapi saya bangga dengan apa yang saya tunjukkan hari ini,” katanya.

Menurut Meredy, Josephine memberikan tentangan hebat dengan kedua-dua mereka saling berbalas tumbukan, yang menguji ketahanan fizikal dan mental sepanjang perlawanan.

WhatsApp Image 2026 07 18 at 9.27.40 PM

“Saya rasa semasa kami saling bertukar tumbukan, saya perlu buat lebih daripada dia untuk memastikan saya memberikan aksi terbaik,” katanya.

Meredy berkata strategi yang dirancang bersama pasukan berjaya dilaksanakan dengan tampil lebih agresif sejak awal pertarungan.

Sebagai persiapan menghadapi BAM Championship, Meredy menjalani latihan intensif bersama Loredefi Team di Filipina selama hampir dua bulan bagi memastikan dirinya berada pada tahap terbaik.

Keputusan seri itu menjadikan rekod profesional Meredy kini satu kemenangan dan dua keputusan seri.

Meredy turut mengucapkan penghargaan kepada Josephine kerana menerima cabaran dan menghadirkan pertarungan yang kompetitif.

“Terima kasih kerana menerima cabaran ini. Jaga diri dan semoga kita berjumpa lagi,” katanya.

Meredy menegaskan keputusan seri itu tidak mengubah sasaran besarnya untuk terus mencipta kejayaan dalam arena tinju profesional.

“Saya akan terus berlatih dan sasaran saya tahun depan adalah memenangi tali pinggang WBC,” katanya.

Walaupun masih belum mencatat kemenangan menerusi knockout (KO), Meredy yakin disiplin, latihan berterusan dan pengalaman yang dikumpul dalam setiap pertarungan mampu membantunya mencapai sasaran untuk muncul sebagai petinju wanita pertama Malaysia merangkul tali pinggang WBC.

Meredy turut merakamkan penghargaan kepada penaja utamanya, One Dream Legacy, ibu bapanya, Loredefi Team di Filipina serta semua penyokong yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perjalanan karier profesionalnya.

“Saya amat menghargai sokongan semua. Terima kasih kerana sentiasa bersama saya dari awal sehingga hari ini,” katanya.

Dengan semangat yang terus membara, Meredy bertekad meneruskan perjuangan dalam arena profesional dan membawa nama Malaysia lebih jauh di pentas tinju antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal