BEAUFORT: 12 Jun 2026 — Kerajaan Negeri melalui MAFFI memperkukuh industri akuakultur Sabah dengan bantuan benih udang, kemudahan simpanan dan sokongan teknikal untuk meningkatkan produktiviti pengusaha.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar semasa lawatan ke projek ternakan udang di Kampung Bintuka, Beaufort, kelmarin berkata usaha itu merupakan komitmen kerajaan membantu pengusaha tempatan mengembangkan perusahaan udang yang berpotensi lumayan.
Kawasan seluas 50 ekar itu diusahakan enam pengusaha membekalkan udang segar ke Kota Kinabalu dan Brunei.
Jamawi berkata, bantuan sebanyak 500,000 benih udang akan disediakan untuk kegunaan kolam-kolam sedia ada di kawasan itu.
Jelasnya, kementeriannya akan menyediakan kemudahan simpanan atau cold room dan pemprosesan udang secara berpusat untuk kegunaan bersama semua pengusaha. Kemudahan penyimpanan itu membolehkan pengusaha mengekalkan kualiti udang segar sehingga sebulan.
Selain itu katanya, sektor pertanian, perikanan dan penternakan mampu menjana pendapatan tinggi jika diurus secara sistematik dan berdaya maju.
“Satu kolam ternakan mampu menghasilkan sehingga 10 tan udang dengan nilai pengeluaran mencecah kira-kira RM250,000 bagi setiap kolam,” katanya.
Spesies yang diternak ialah udang putih (Penaeus vannamei), antara spesies paling popular dengan permintaan tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Turut hadir: Pembantu Menteri merangkap ADUN Lumadan, Datuk Haji Ruslan; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun; serta pegawai Jabatan Perikanan Sabah.
