SANDAKAN: 19 April 2026 – Lebih 200 rumah sementara atas air musnah terbakar di Kampung Bahagia, Sandakan awal pagi hari ini.
Kebakaran bermula sekitar jam 1.32 pagi itu merebak pantas disebabkan kedudukan kediaman yang padat dan bahan binaan mudah terbakar.
Sehingga jam 7.05 pagi tadi, kebakaran dilaporkan masih belum dapat dikawal sepenuhnya. Menurut Ketua Balai BBP Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Jimmy Lagung, pasukannya sukar ke kawasan kebakaran disebabkan laluan yang sempit dan keadaan air laut yang surut menyebabkan ketiadaan sumber air semulajadi, sekali gus melambatkan operasi memadam.
Tiupan angin kencang membuat api lebih cepat merebak dari rumah ke rumah dan lebih sukar dikawal dalam tempoh singkat.
Bagi menampung kekangan sumber air, pasukan bomba menggunakan beberapa aliran hos dengan bekalan air diperoleh dari lori tangki dan pili bertekanan tinggi milik sebuah kilang berhampiran.
Seramai 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dan BBP Kinabatangan digerakkan ke lokasi, dengan sokongan beberapa agensi lain termasuk Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Setakat ini, tiada mangsa kehilangan jiwa yang dilaporkan terlibat, dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
