SEEN desak Ketua Menteri bawa ke DUN usul rasmi bantahan penangguhan hak 40% Sabah

Mohd Khalid Ismail 1

KOTA KINABALU: 1 April 2026 – Sabah Entitlement and Equity Now (SEEN), yang disifatkan sebagai antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam isu hak Sabah, mendesak Ketua Menteri Sabah membawa sendiri usul rasmi membantah rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan berkaitan hak 40% Sabah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) April ini.

Timbalan Presiden Seen, Melvin Lo Foo Wei, berkata tanggungjawab itu tidak boleh diwakilkan kepada mana-mana pihak termasuk Ketua Pembangkang, ADUN pembangkang, ADUN lantikan atau Ahli DUN kerajaan.

“Kami SEEN sebuah badan NGO dengan ini menuntut secara tegas agar Ketua Menteri Sabah mengambil langkah drastik dan segera membawa satu usul rasmi di Dewan Undangan Negeri Sabah bagi membantah rayuan serta permohonan stay of execution berkaitan hak 40% Sabah dalam sidang DUN pada April ini.

“Perlu ditegaskan tanpa sebarang kekaburan, usul ini mesti dibawa oleh Ketua Menteri sendiri, bukan oleh Ketua Pembangkang dan ADUN pembangkang, bukan juga oleh ADUN lantikan, dan bukan juga oleh mana-mana Ahli DUN dari komponen kerajaan,” jelasnya dengan tegas.

SEEN menekankan bahawa tanggungjawab itu tidak boleh dipindahkan, tidak boleh diwakilkan, dan tidak boleh dielakkan kerana ia adalah sebuah amanah.

“Jika benar kepimpinan wilayah ini serius mempertahankan hak Sabah, maka Ketua Menteri sendiri wajib tampil ke hadapan,” ujarnya.

Beliau menambah, “Sebarang cubaan untuk menyerahkan tanggungjawab ini kepada pihak lain hanya akan dilihat sebagai tindakan mengelak dan memperlekehkan kepentingan isu ini di mata rakyat Sabah.”

Mewakili SEEN, Malvin menegaskan, “Saya juga memberi peringatan keras kepada Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Sabah agar tidak menghalang usul ini daripada dibentangkan. Menghalang perbahasan mengenai hak wilayah sendiri adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima dan mencemarkan integriti institusi Dewan.”

Beliau menekankan bahawa sokongan semua Ahli DUN terhadap usul itu menjadi penanda aras keikhlasan dalam memperjuangkan hak Sabah.

Tegasnya, “Kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri, ini adalah indikator sama ada anda benar benar ikhlas memperjuangkan rakyat Sabah atau sebaliknya. Sokongan penuh terhadap usul ini hukumnya harus.”

“Hak 40% ini adalah hak yang termaktub dalam Malaysia Agreement 1963 (MA63) dan berkait langsung dengan prinsip yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ia bukan isu baharu, tetapi isu yang terlalu lama ditangguhkan dan kini berdepan risiko untuk terus dilemahkan.

“Kepada saudara saudari kita yang tinggal di Semenanjung, yang dipisahkan dari kami oleh Laut China Selatan, ingin ditegaskan bahawa prinsip asas negara ini tidak boleh dipilih-pilih. Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara.

“Sehubungan itu, hak Sabah ini bukan sekadar tuntutan wilayah, tetapi ujian kepada seluruh warga Malaysia bahawa sama ada kita benar-benar menghormati kedaulatan undang-undang, atau sekadar menjadikannya slogan kosong.

“Tiada mana-mana individu, dan tiada mana-mana institusi, yang boleh diletakkan lebih tinggi daripada Perlembagaan. Jika kita membenarkan pengecualian dalam satu perkara, maka kita sedang membuka ruang kepada pencabulan dalam perkara yang lain.

Melvin memperingatkan bahawa rakyat Sabah tidak perlukan wakil untuk bersuara bagi pihak Ketua Menteri. Rakyat Sabah menuntut Ketua Menteri sendiri untuk bangkit, bertindak secara tegas, dan mempertahankan hak wilayah ini di pentas rasmi Dewan Undangan Negeri, “contohilah Abang Jo”.

“Jika perkara ini pun gagal dilakukan, maka rakyat berhak mempersoalkan keberanian dan keikhlasan kepimpinan sedia ada.

“Ini bukan lagi soal politik. Ini soal maruah Sabah. Dan rakyat sedang memerhati,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal