KOTA KINABALU: 25 Jun 2026 – Sabah memerlukan lebih ramai tenaga kerja tempatan dalam industri maritim demi menyokong pembangunan ekonomi biru dan memenuhi keperluan sektor yang terus berkembang di wilayah ini.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan, dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, Program Aspirasi Kerjaya Pelaut Peringkat Negeri Sabah dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran golongan belia, khususnya pelajar, mengenai peluang kerjaya dalam industri berkenaan.
“Objektif program ini adalah untuk memupuk kesedaran dan membuka ruang kepada anak-anak muda kita, khususnya dalam kalangan pelajar, untuk mempertimbangkan kerjaya dalam industri pelaut. Ini merupakan satu sektor yang kita perlukan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Aspirasi Kerjaya Pelaut Peringkat Negeri Sabah di Hotel Hilton, hari ini.
Menurut Ewon, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi biru termasuk perancangan mewujudkan sebuah taman perindustrian ekonomi biru di Kudat yang dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.
Beliau berkata, pembangunan Sabah tidak boleh dipisahkan dari sektor pengangkutan laut kerana sebahagian besar bahan binaan, barangan keperluan, jentera, kenderaan dan produk keluaran tempatan bergantung kepada laluan perkapalan untuk dibawa masuk dan dipasarkan ke luar negara.
“Sabah tidak boleh dan tidak mungkin akan membangun tanpa pengangkutan laut,” katanya.

Ewon berkata, peluang kerjaya dalam industri maritim tidak hanya tertumpu di Sabah atau Malaysia, malah turut membuka ruang kepada anak tempatan untuk berkhidmat di peringkat antarabangsa.
Beliau turut berkongsi lawatannya ke Dalian Maritime University di China yang berjaya melahirkan tenaga mahir untuk industri perkapalan, dan berharap lebih ramai anak Sabah dapat menceburi bidang itu sebagai kapten kapal, jurutera, kru kapal serta profesion lain yang berkaitan.
Katanya, kementeriannya akan terus menyokong penganjuran Program Aspirasi Kerjaya Pelaut pada masa hadapan sebagai usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja tempatan bagi memenuhi keperluan industri maritim yang semakin berkembang di wilayah Sabah.

