Sabah perkukuh pembangunan modal insan untuk industri masa depan

ASAIHL 01.JPG 1 scaled

KOTA KINABALU: 4 Julai 2026 – Kerajaan Sabah akan terus memperkukuh pembangunan modal insan menerusi Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan sektor strategik berimpak tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, usaha itu penting bagi memastikan Sabah bersedia menghadapi perubahan pesat dalam landskap teknologi dan ekonomi global.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Md Shamsreezal, sempena Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

Menurut Hajiji, Sabah masih berdepan beberapa cabaran dalam memperluaskan pembelajaran sepanjang hayat termasuk faktor geografi, kawasan pedalaman dan jurang digital antara bandar serta luar bandar.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan menggalakkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi, kolej komuniti, pusat latihan vokasional dan pertubuhan bukan kerajaan untuk memperluaskan akses kepada pendidikan berterusan.

Beliau berkata perkembangan AI, analitik data raya, pembelajaran mesin dan platform digital kini mengubah landskap pendidikan serta dunia pekerjaan, sekali gus menuntut institusi pendidikan dan tenaga kerja menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi.

Katanya, universiti di seluruh Asia mempunyai peluang besar memperluaskan akses pendidikan melalui pembelajaran dalam talian, mikrokelayakan, bilik darjah maya dan pembelajaran diperibadikan yang dibantu AI.

Hajiji turut memaklumkan bahawa ASAIHL 2026 menghimpunkan penyertaan dari lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Iran, Uzbekistan, Kemboja dan Perancis, sekali gus mengukuhkan kerjasama akademik antarabangsa.

Beliau turut memuji peranan UMS dalam memperkasa pembelajaran sepanjang hayat melalui pelbagai program jangkauan, pembangunan profesional dan aktiviti libat urus komuniti serta berharap lebih banyak institusi tampil bekerjasama mempromosikan budaya pembelajaran sepanjang hayat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal