Sabah catat 2.6 juta ketibaan pelawat setakat Ogos

0c8310d1 bb5e 4f88 b35d 48dc76122a19

Oleh: Nurul Fazliana Norman

KOTA KINABALU: 4 Oktober 2026- Sabah merekodkan 2.6 juta ketibaan pelawat domestik dan antarabangsa dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, meningkat 4.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata jumlah itu membabitkan 1.1 juta pelawat antarabangsa dan 1.5 juta pelawat domestik.

“Angka ini jelas menunjukkan Sabah terus menjadi destinasi pilihan dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Malam Gala dan Ritma Kinabalu 2026 di Padang Merdeka di sini, Sabtu lalu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.

Menurut Hajiji, China kekal sebagai pasaran antarabangsa utama Sabah dengan 578,681 ketibaan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

IMG 3038

Katanya, pertumbuhan itu turut disokong pasaran Singapura, Australia dan Eropah, manakala Jepun menunjukkan perkembangan memberangsangkan susulan semakan semula nasihat perjalanan.

Beliau berkata ketibaan pelancong dari Itali dan Sepanyol pada Ogos turut mencerminkan peningkatan daya tarikan Sabah dalam kalangan pelancong Eropah.

Pasaran domestik mencatat peningkatan 2.1 peratus dan kekal sebagai antara penyumbang penting kepada industri pelancongan negeri.

Bagaimanapun, Hajiji berkata tambang dan ketersediaan penerbangan masih menjadi cabaran yang boleh mempengaruhi keputusan pelancong untuk berkunjung ke Sabah.

“Justeru, aspek ketersambungan udara perlu terus diberikan perhatian agar potensi besar sektor pelancongan Sabah dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Malam Gala dan Ritma Kinabalu atau Rhythms of Kinabalu 2026 yang memasuki edisi ke-12 menyediakan platform kepada penggiat seni budaya, kumpulan muzik tradisional dan kontemporari untuk mempersembahkan karya berkonsepkan muzik Borneo.

Tambahnya, pelancongan kebudayaan juga berpotensi menarik lebih ramai pelancong selain membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.

IMG 3039

“Kepelbagaian khazanah budaya, adat resam, seni dan makanan tradisional kita menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung,” ujarnya.

Beliau turut menyeru semua pihak bersama-sama memperkenalkan kekayaan budaya Sabah ke peringkat dunia, di samping memastikan keasliannya terus terpelihara.

Sumber: JAPEN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal