Sabah Berselawat 2026 semarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW

WhatsApp Image 2026 08 06 at 11.28.41 PM

Oleh: Nurul Fazliana Norman

TUARAN: 6 Ogos 2026 – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag, menghadiri Program Sabah Berselawat 2026 di Dewan Seri Sulaman, Tuaran, malam ini yang diadakan untuk menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW menerusi alunan selawat, persembahan nasyid dan pengisian ilmiah, selain disiarkan secara langsung menerusi RTM Sabah, SabahFM, KeningauFM, Facebook rasmi RTM Sabah dan RTM Klik bermula jam 8.30 malam.

Program yang dibawakan khas oleh Kerajaan Negeri Sabah itu turut mendapat kerjasama strategik Majlis Daerah Tuaran, Pejabat Daerah Tuaran, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Bahagian Istiadat dan Protokol Jabatan Ketua Menteri dan pelbagai agensi kerajaan lain untuk memastikan kelancaran penganjurannya.

Majlis dimulakan dengan persembahan nasyid sebelum diteruskan dengan tausiah yang disampaikan oleh Ustaz Rafaeh Md. Enarji, yang mengingatkan umat Islam agar tidak berputus asa daripada rahmat Allah meskipun pernah melakukan dosa.

Menurut beliau, Rasulullah SAW merupakan rahmat kepada seluruh alam dan syafaat Baginda turut diperuntukkan kepada umat yang benar-benar bertaubat dan berusaha menghidupkan sunnah dalam kehidupan seharian.

“Nabi SAW bukan sahaja diutus kepada mereka yang taat kepada Allah, malah juga kepada hamba-hamba yang berdosa tetapi sentiasa mengharapkan keampunan dan rahmat-Nya. Hiduplah dengan mengamalkan sunnah Baginda kerana itulah bukti sebenar kecintaan kepada Rasulullah SAW,” katanya.

Sementara itu, Prof. Datuk Dr. Haji Izhar Arif dalam ceramahnya menegaskan kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu diterjemahkan melalui penghayatan akhlak, pengamalan sunnah dan usaha memperkukuh perpaduan masyarakat.

Beliau berkata, sambutan Maulidur Rasul dan program berselawat seperti itu penting untuk menyemai nilai murni dalam kalangan generasi muda agar sentiasa menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan.

“Kalau benar kita mencintai Nabi Muhammad SAW, hidupkan majlis-majlis selawat, kenali keperibadian Baginda, amalkan sunnah dan peliharalah perpaduan dan kebersihan kerana semuanya merupakan ajaran Rasulullah SAW,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat agar menghargai keluarga, pasangan dan insan di sekeliling sebagai sebahagian daripada akhlak yang diajarkan Rasulullah SAW.

Program Sabah Berselawat mula dianjurkan pada 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu sempena Sambutan Hari RTM ke-77, diikuti penganjuran edisi kedua pada 2024, edisi ketiga di Dewan Masyarakat Tawau pada Julai 2025, sebelum memasuki edisi keempat di Dewan Seri Sulaman, Tuaran tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal