KOTA KINABALU: 20 Julai 2026 – Kerajaan Sabah mencadangkan RM86 juta menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2026) 2026 untuk membiayai biasiswa kerajaan negeri dan pelbagai bantuan pendidikan untuk pelajar Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, peruntukan tambahan itu disalurkan kepada Jabatan Ketua Menteri dan agensi di bawahnya untuk memastikan pelaksanaan inisiatif pendidikan dapat diteruskan.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan syor Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2026) 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Menurut beliau, antara inisiatif yang akan dibiayai ialah Biasiswa Kerajaan Negeri, Bantuan Wang Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (BUDI), Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA), Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) dan Sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah (SUKSES).
“Sebanyak RM86 juta adalah disyor kepada Jabatan Ketua Menteri dan agensi di bawahnya untuk tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri dan pelbagai bantuan pendidikan kepada pelajar Sabah.”
Masidi berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkukuh pembangunan modal insan melalui penyediaan bantuan pendidikan kepada pelajar Sabah di pelbagai peringkat.
“Antara bantuan yang akan diteruskan ialah Bantuan Wang Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA), Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) dan Sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah (SUKSES).”
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan pendidikan bagi memastikan lebih ramai anak Sabah mendapat akses kepada bantuan kewangan untuk melanjutkan pengajian dan mengurangkan beban kos pendidikan.

