Oleh: Roodwill
PAJU (KOREA SELATAN): Kanak-kanak di Jori-eup, pinggir bandar Paju, Wilayah Gyeonggi, tidak mempunyai pilihan lain pada awal 1960-an. Setiap hari, mereka terpaksa meredah dan menelusuri batu-batu sungai ke sekolah.
Setiap kali hujan lebat melanda dan air Sungai Gongneungcheon melimpah, laluan itu terputus sepenuhnya. Pelajar tidak dapat ke sekolah dan aktiviti harian penduduk lumpuh ketika mereka masih bergelut bangkit dari kemiskinan pasca-Perang Korea.
Melihat kesukaran itu, kerajaan Malaysia menghulurkan bantuan kewangan sebanyak 5,000 Dolar Malaya, bersamaan kira-kira 1.32 juta Won Korea pada waktu itu, untuk membiayai pembinaan sebuah jambatan kekal.
Hasil sumbangan ikhlas itu, sebuah jambatan konkrit sepanjang 60 meter dan selebar 7.5 meter siap sepenuhnya pada 25 Ogos 1966. Jambatan itu dirasmikan dalam satu majlis penuh bermakna pada 19 November tahun sama.
Majlis perasmian itu turut dihadiri Duta Besar Malaysia pertama ke Korea Selatan, Allahyarham Datuk Mohd Ismail Mohd Yusoff, bersama penduduk setempat yang meraikannya dengan penuh rasa syukur.
Sebagai tanda penghormatan dan penghargaan, penduduk dan pihak berkuasa tempatan menamakan jambatan itu ‘Jambatan Malaysia’ (Malaysia-gyo). Nama itu terus kekal sehingga ke hari ini.
Lebih membanggakan, pada 2021, kerajaan Wilayah Gyeonggi mewartakan Jambatan Malaysia sebagai Harta Budaya Berdaftar atas nilai sejarah dan simbolik hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terjalin sejak 1960.
Kini, selepas 60 tahun berlalu, jambatan itu masih utuh digunakan generasi baharu penduduk Paju. Ia menjadi tugu peringatan budi baik rakyat Malaysia suatu ketika dahulu yang tidak pernah dilupakan masyarakat Korea Selatan.
