KOTA KINABALU: 31 Julai 2026 – Kerajaan Sabah melancarkan Program Solar Rakyat Sabah yang menawarkan rebat sehingga RM4,000 kepada pengguna domestik untuk mengurangkan kos pemasangan sistem solar fotovolta di kediaman masing-masing.
Program ini beroperasi menerusi mekanisme Net Energy Metering (NEM), di mana tenaga solar digunakan untuk keperluan sendiri manakala lebihan disalurkan ke grid dan dikreditkan ke bil elektrik.

Pengguna juga boleh mendapat kemudahan pembiayaan penuh tanpa kos permulaan melalui syarikat berdaftar di bawah Energy Commission of Sabah (ECoS). Syarikat terbabit menanggung kos pemasangan sistem solar dan bateri, manakala pengguna membayar secara sewaan berdasarkan penjimatan bil elektrik.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, rebat ditawarkan pada kadar RM1,000 untuk setiap 1 kilowatt (kW) dengan had maksimum 4kW untuk pengguna fasa tunggal. Insentif itu mampu mengurangkan kos pemasangan sekitar 25 hingga 30 peratus.

“Pembayaran kemudiannya dibuat oleh pengguna kepada syarikat berkenaan berdasarkan konsep sewaan untuk menikmati penjimatan bil elektrik,” katanya.
Program Solar Rakyat Sabah merupakan inisiatif utama di bawah Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040) untuk memperkukuh agenda tenaga lestari, meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu dan menggalakkan penyertaan rakyat dalam peralihan tenaga di Sabah.
Majlis pelancaran di Kota Kinabalu pada Khamis lalu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman. Turut hadir wakil Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam; Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Maijol Mahap; dan Pengerusi ECoS, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili.
Sumber: JAPEN

