Ranau catat rekod Kopi Tanah Tinggi, petani kecil jadi nadi kejayaan

WhatsApp Image 2026 11 05 at 1.20.24 PM

Oleh David E.

RANAU: 6 Nov, 2026 – Di sebalik kedinginan tanah tinggi Ranau yang berselimut kabus, sekumpulan petani kecil di Kampung Toboh Lama membuktikan sesuatu yang luar biasa: tanah mereka mampu melahirkan kopi bernilai tinggi, setanding hasil dari serata dunia.

Kejayaan itu kini diiktiraf secara rasmi. Majlis Peluncuran The Malaysia Book of Records (MBR) kategori “Highest Altitude Coffee Plantation” 2026 di kampung tersebut kelmarin, menjadikan Ranau lokasi penanaman kopi pada altitud tertinggi di negara ini.

Namun, penduduk tempatan melihat pengiktirafan itu sebagai bukti kemampuan petani kecil menghasilkan produk bertaraf premium, bukan sekadar catatan dalam buku rekod.

“Sebagai anak Ranau, saya mahu kejayaan ini membawa manfaat ekonomi yang sebenar untuk penduduk. Petani kita tidak harus melihat diri mereka sekadar pengeluar hasil ladang, tetapi usahawan yang mempunyai tempat dalam rantaian industri kopi premium,” kata Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi bin Manjun, ketika merasmikan majlis tersebut.

Menurut Masidi, potensi industri kopi Ranau amat besar. Berdasarkan angka yang dikongsikan pada Malaysia Cafe Expo 2025, pasaran kopi domestik bernilai kira-kira RM4.4 bilion dengan lebih 6,400 kafe di seluruh negara. Kopi specialty dari Ranau dilaporkan mampu dijual pada harga RM50 hingga RM65 untuk pek 250 gram.

“Angka ini menunjukkan nilai yang boleh dijana jika kualiti, bekalan dan pemasaran diurus dengan baik,” katanya.

Beliau melihat tiga peluang utama untuk Ranau. Pertama, meningkatkan pengeluaran dan membangunkan rantaian nilai dari penanaman, pemprosesan dan pemanggangan hingga pembungkusan dan pemasaran.

“Kita mahu lebih banyak nilai kopi ini kekal dalam tangan pengusaha tempatan,” tegasnya.

Kedua, melahirkan lebih ramai agropreneur muda. Anak-anak Ranau perlu melihat industri kopi sebagai kerjaya berpotensi, termasuk dalam bidang pemanggangan, pembangunan jenama dan pemasaran digital.

“Tidak mustahil suatu hari nanti kita mempunyai jenama atau rangkaian kafe kopi tanah tinggi Sabah yang dikenali di seluruh negara,” katanya.

Ketiga, menghubungkan industri kopi dengan pelancongan melalui cadangan “Coffee Trail Ranau”. Pengunjung berpeluang mengenali ladang kopi tanah tinggi, melihat proses pengeluaran dan menikmati sendiri kopi tempatan.

“Ini boleh membuka pendapatan tambahan untuk komuniti,” ujarnya.

Sejajar dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0, Masidi mahu Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan bersama Jabatan Pertanian menyediakan pelan tindakan pembangunan industri kopi Ranau. Keutamaan termasuk kemudahan pascatuai, latihan dan mekanisasi, penyelidikan untuk mengekalkan mutu kopi, dan jaringan pemasaran lebih luas.

Pada masa sama, pengusaha perlu dibimbing memenuhi piawaian seperti myGAP atau myOrganic yang bersesuaian. Mutu konsisten dan pensijilan diyakini akan membantu kopi Ranau menembusi pasaran premium, termasuk pasaran antarabangsa.

Majlis tersebut turut menyaksikan perasmian Dewan Serbaguna Kampung Toboh Lama. Masidi berharap kemudahan itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mesyuarat, kegiatan belia, kebudayaan, sukan dan program kemasyarakatan.

“Pembangunan ekonomi dan kesejahteraan komuniti mesti bergerak seiring,” katanya.

Beliau menegaskan ukuran sebenar kejayaan bukan hanya nama Ranau tercatat dalam buku rekod.

“Kejayaan sebenar ialah lebih ramai petani meningkatkan pendapatan, anak muda mendapat peluang pekerjaan dan masyarakat kampung menikmati kehidupan lebih baik. Itulah semangat pembangunan yang kita mahukan di bawah Sabah Maju Jaya,” katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri

Turut hadir Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Haji Jamawi bin Jaafar; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Mohd. Sofian Alfian Nair; Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ts. Haji Jifrin Haji Mohamad; Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Tuan Jackson Ronald Jaimi; dan Pegawai Daerah Ranau, Tuan Herry Awit; wakil Panel The Malaysia Book of Records; ketua-ketua jabatan; pemimpin masyarakat; rakan media dan seluruh warga Kampung Toboh Lama.

Sumber: MOF

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal