Rakyat luar bandar Sabah perlukan infrastruktur berkualiti – Joachim

Joachim2.1

oleh David E.

TENOM: 12 Oktober 2026 – Projek tenaga hidro Upper Padas di Tenom dan Projek Menggantikan Pembetung dengan Jambatan Kekal di Kilometer 133.95, Jalan Kota Kinabalu–Keningau, dijangka memberi kemudahan lebih baik untuk rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, mengadakan lawatan kerja ke Tenom dan Keningau hari ini untuk meninjau perkembangan kedua-dua projek berkenaan.

“Pembangunan infrastruktur berkualiti dan berdaya tahan penting untuk memastikan rakyat mendapat kemudahan asas lebih baik, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah,” katanya.

Beliau menekankan kepentingan pemantauan berterusan projek pembangunan supaya sebarang isu atau kekangan pelaksanaan dapat dikenal pasti dan ditangani sewajarnya.

“Pembangunan sektor tenaga dan jaringan jalan raya lebih baik bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat, malah menyokong pertumbuhan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pembangunan di kawasan terlibat,” ujarnya.

Lawatan itu sebahagian daripada usaha memastikan projek pembangunan infrastruktur di Sabah dilaksanakan dengan teratur, memenuhi piawaian ditetapkan dan memberi manfaat untuk rakyat.

Joachim memulakan lawatan di ibu pejabat CCCC-CWE di Kemabong, Tenom, dengan menghadiri sesi taklimat oleh Upper Padas Power Sdn. Bhd. mengenai perkembangan projek tenaga hidro Upper Padas.

Beliau kemudian dibawa meninjau tapak projek termasuk kawasan Access Tunnel untuk melihat sendiri pelaksanaan kerja dan mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai aspek teknikal dan cabaran di lapangan.

Projek tenaga itu antara inisiatif penting dalam usaha memperkukuh infrastruktur bekalan elektrik di Sabah untuk memenuhi keperluan pembangunan dan permintaan tenaga masa hadapan.

Selepas lawatan di Kemabong, Joachim meneruskan perjalanan ke Keningau untuk meninjau Projek Menggantikan Pembetung dengan Jambatan Kekal di Kilometer 133.95, Jalan Kota Kinabalu–Keningau.

Tinjauan itu memberi peluang kepadanya untuk melihat secara langsung keadaan tapak projek dan meneliti aspek pelaksanaan kerja berkaitan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Lawatan kerja dua hari, 12 hingga 13 Oktober, turut merangkumi beberapa projek infrastruktur dan kemudahan asas di daerah Keningau yang dijadual dilawati hari berikutnya.

– TV Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal