Tuesday, December 24, 2024

PRU15 landasan terbaik pulih kestabilan politik

KOTA KINABALU 24 Oktober 2022

PILIHAN raya umum ke-15 (PRU15) kali ini adalah platform terbaik untuk memulihkan kestabilan politik dan ekonomi negara.

Angin perubahan akan mempengaruhi trend pengundian yang menentukan siapa parti politik yang akan berjaya sampai di Putrajaya.

Rakyat Malaysia akan keluar mengundi pada 19 November ini. Tarikh penamaan calon sudah ditetapkan pada 5 November dengan pengundian awal pada 15 November.

PRU15 ini membabitkan pertandingan 222 kerusi parlimen. Pilihan raya negeri juga akan diadakan di Perak yang mempertaruhkan 59 kerusi DUN, Pahang (42) dan Perlis (15). Pilihan raya kecil negeri di Sabah bagi kerusi Bugaya juga akan diadakan pada masa yang sama.

Pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Bugaya diadakan selepas dikosongkan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manis Muka Mohd Darah pada 17 November 2020. Beliau memenangi kerusi itu atas tiket Parti Warisan dalam undian mengejut Sabah pada 26 September 2020.

Kali ini, pengundi mesti memilih calon dengan bijak. Inilah peluang rakyat Malaysia untuk memperbetulkan keadaan politik yang semakin tidak menentu. Ini kerana dalam tempoh yang singkat Malaysia dipaksa untuk menerima tiga pentadbiran sejak pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Rakyat Malaysia dipaksa menerima tiga perdana menteri daripada parti berbeza sejak 2008 dan pengundi kini boleh menilai prestasi mereka untuk menentukan parti siapa yang benar-benar memberi khidmat cemerlang kepada rakyatnya.

Dalam PRU14 Pakatan Harapan yang terdiri daripada pakatan PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang dengan majoriti mudah 113 kerusi.

Pengerusi Bersatu ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, dilantik sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia tetapi meletak jawatan pada 24 Februari 2020 sekaligus membuka jalan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri kelapan pada 1 Mac 2020.

Namun pergolakan politik tidak berhenti di situ apabila pada 16 Ogos 2021, Muhyiddin berundur untuk membenarkan timbalan perdana menteri ketika itu yang juga naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaacob mengambil alih jawatan perdana menteri.

Ismail sebagai perdana menteri sementara kini mencari mandat baharu untuk terus menerajui Kerajaan Persekutuan untuk lima tahun akan datang. Maka, penggal Parlimen yang sepatutnya berakhir pada September tahun depan dibubarkan pada 10 Oktober.

Dalam perkembangan landskap politik Malaysia sejak empat tahun lalu, pemilih telah menjadi lebih matang dan bijak serta melihat sendiri parti mana yang lebih cekap menangani isu-isu mendesak yang dihadapi negara.

Pelaksanaan undang-undang anti-lompat — Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 — yang melarang pembelotan wakil rakyat daripada melompat ke parti lain, akan memberi keyakinan kepada pengundi untuk memilih calon yang mereka fikir paling layak.

Tidak ada alasan sudah bagi kira-kira 21 juta pengundi di negara ini untuk berkecuali daripada mengundi memikirkan bahawa calon yang mereka undi nanti mungkin melompat ke parti lain. Ini tidak akan berlaku lagi kerana undang-undang anti-lompat telah pun dikuatkuasakan.

PRU15 kali ini juga akan menyaksikan buat pertama kali generasi muda berumur 18 tahun keluar membuang undi. Mereka bukan sahaja melaksanakan hak tetapi mereka akan mewakili suara golongan muda.

Perlembagaan Persekutuan telah dipinda pada 2019 untuk menurunkan umur mengundi kepada 18 daripada 21 di mana ini menyaksikan pertambahan kira-kira 7.8 juta pemilih baharu ke dalam daftar pemilih.

Golongan berusia 18 tahun, yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih terdiri daripada 3.8 juta pemilih baharu.

– Berita TV Sabah

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights