KOTA KINABALU: 10 Oktober 2025 – Filem tempatan terbaru arahan Ebi Kornelis, Syurga Dalam Botol, mendapat pujian penonton kerana keberaniannya mengangkat isu sensitif berkaitan identiti dan kehidupan masyarakat tanpa pengiktirafan (stateless) di Sabah.
Menurut penonton Joe Japrin, filem tersebut benar-benar menyentuh hati dan memberikan kesan mendalam.
“Terus terang, saya jarang tersentuh sedalam ini selepas menonton sebuah filem tempatan. Cerita ni betul-betul buat saya berfikir tentang kehidupan, tentang manusia yang hidup tanpa pengiktirafan, tanpa identiti… stateless,” katanya.
Beliau berkata, filem ini menonjolkan realiti kehidupan sebenar tentang bagaimana seseorang tidak dapat memilih untuk dilahirkan dalam keluarga atau status sosial tertentu.
“Kadang dalam hidup ni, kita tak selalu ada pilihan. Ada masa, kita terpaksa pilih jalan yang ada, walaupun pahit, demi untuk teruskan hidup,” ujarnya.
Joe turut memuji lakonan para pelakon yang disifatkan sangat ikhlas dan penuh jiwa, selain sinematografi yang kemas dan menyentuh emosi.
“Cantik, kemas, dan penuh rasa. Macam menonton filem Thailand dan Philippines, tapi dengan jiwa dan rasa Borneo yang dekat di hati,” katanya lagi.
Beliau menganggap filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu peringatan tentang betapa pentingnya identiti dan tempat untuk dipanggil “rumah”.
Filem ini kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Sabah dan Malaysia, dan orang ramai disaran menontonnya bagi menyelami mesej kemanusiaan yang dibawakan.
Sumber: Joe japrin

