KOTA KINABALU, 7 Julai 2025 – Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri makanan melalui Jabatan Pertanian Sabah telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan kaedah bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti hasil pertanian seperti buah-buahan, kopi dan padi.
Antaranya ialah Inisiatif Pembangunan Kapasiti dan Latihan Petani yang memberi kursus latihan teknikal berterusan, yang merangkumi penerapan Amalan Pertanian Baik (APB), pemindahan teknologi pertanian moden dan pelaksanaan Kursus Desimenasi serta Kursus Transformasi Teknologi Pertanian.
Khidmat nasihat dan bimbingan turut diberikan secara langsung oleh pegawai pengembangan di daerah bagi menggalakkan petani mengamalkan APB dalam pengurusan ladang.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Hendrus Anding berkata, selain itu, Pemberian Insentif Pembangunan Tanaman Makanan turut diberikan di bawah Program Pembangunan Tanaman Makanan.
“Antara bantuan yang diberikan ialah subsidi pembajakan sawah padi, pembukaan kawasan, bahan tanaman berkualiti, input pertanian seperti baja dan racun, sistem pengairan, stor input pertanian, pusat pengumpulan hasil dan mesin pemprosesan huluan.
“Inisiatif ini membantu meningkatkan kecekapan pengeluaran dan mengurangkan beban kos kepada petani.
“Inisiatif seterusnya ialah Pembangunan Tanaman Padi bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluaran padi. Program Skim Pengeluaran Benih Padi Bermutu (HYV) merupakan program di bawah inisiatif ini dan dilaksanakan melalui pembangunan Sawah Satelit Benih Padi Sah khususnya varieti TR8 (mampu menghasilkan sehingga 10 metrik tan sehektar).
“Program ini disokong oleh tiga buah Pusat Pengeluaran Benih Padi di Papar, Tenom dan Kota Belud. Di samping itu, kempen penanaman dua musim setahun turut dilaksanakan di kawasan sawah K1 dan K2, dengan penggunaan Pakej Teknologi Rice Check & Centralized Management Farming System (CMFS).
“DOA Sabah juga melaksanakan Projek Pemulihan Tanah Sawah Terbiar seluas 7,392 hektar secara berperingkat dan sebanyak 437.57 hektar telah berjaya dipulihkan pada tahun 2024 di tiga daerah utama. Selain itu, perancangan pewartaan tanah sawah di bawah Ordinan Pengairan dan Saliran serta Ordinan Tanah Sabah juga sedang dirangka bagi menjamin kelestarian sektor tanaman padi di negeri ini.
“Jabatan Pertanian turut mempergiat penyelidikan bioteknologi khususnya dalam biologi molekul melalui penubuhan Makmal Biologi Molekul di Pusat Penyelidikan Pertanian Tuaran. Makmal ini dijangka dapat meningkatkan keupayaan dalam bioteknologi pertanian termasuk analisis genetik, penanda molekul dan pembangunan varieti tanaman yang bukan sahaja tahan terhadap serangan penyakit dan cabaran persekitaran, tetapi juga berpotensi menghasilkan varieti berhasil tinggi (HYV) untuk memenuhi keperluan semasa.
“Dalam RMK12, Jabatan Pertanian telah mengeluarkan sebanyak 10 varieti baharu seperti Durian Babagon, Jagung Pulut Ungu Manis, Durian Merah (QDG1), Nangka (QJF1), Kopi Catimor (LSC1), Avokado (QAV3), Tarap (QTRP1), Nanas SVS (QHUD1), Durian Sabah Big Thorn (QDZ1) dan Tuhau (LSTu1) yang memperluaskan potensi pasaran dan pilihan tanaman kepada petani.
“Penerapan penggunaan teknologi pertanian moden iaitu mekanisasi dan automasi seperti jentera pembajak, jentanam, jentuai, dron dan Internet of Things (IoT) telah diperluas bagi meningkatkan kecekapan operasi ladang. Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengatasi kekurangan buruh, malah dapat meningkatkan ketepatan serta keselamatan dalam aplikasi input pertanian seperti semburan baja dan racun.