Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 5 Ogos 2026 – Polis Daerah Kota Kinabalu berjaya menumpaskan sindiket curi rim kenderaan dikenali sebagai “Geng Andy” menerusi beberapa siri serbuan di sekitar Putatan, Penampang dan Papar pada 30 dan 31 Julai lalu, sekaligus menyelesaikan 10 kes kecurian rim di daerah ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, operasi hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Kota Kinabalu membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 38 tahun yang dipercayai aktif melakukan kegiatan itu.
“Hasil serbuan, polis merampas sebuah Perodua Myvi dipercayai digunakan dalam jenayah, 21 unit rim pelbagai jenis kenderaan, dua unit rim Perodua Myvi, pelbagai peralatan membuka rim dan dokumen berkaitan aktiviti sindiket,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, sindiket itu dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes kecurian rim kenderaan di Tanjung Aru, Luyang, Inanam, Karambunai dan Menggatal dengan nilai rampasan dianggarkan RM20,000.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan, manakala semua suspek direman untuki membantu siasatan lanjut.
Dalam perkembangan berasingan, polis turut menyelesaikan satu kes pecah rumah di Bay 21, Likas yang melibatkan kehilangan tiga utas jam tangan berjenama.
“Susulan tangkapan tiga suspek, polis merampas dua utas jam tangan Rolex, sebuah jam tangan Tissot dan satu resit pembayaran dianggarkan bernilai RM30,000,” tambah beliau.
Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen Polis Daerah Kota Kinabalu dalam membanteras jenayah harta benda dan memastikan keselamatan masyarakat terus terpelihara.
Orang ramai dinasihatkan meningkatkan langkah keselamatan kediaman dan kenderaan, termasuk memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV), menggunakan peranti keselamatan tambahan serta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis.
Sumber: Polis Daerah Kota Kinabalu

