KENINGAU: 17 Mei 2026 – Pesta Kaamatan bukan sekadar sambutan budaya, tetapi merupakan lambang kesyukuran, perpaduan dan penghormatan terhadap warisan nenek moyang.
“Seperti mana proses menuai hasil padi yang memerlukan kerjasama dan kesepakatan masyarakat, begitulah perpaduan perlu terus dipupuk agar keharmonian dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang,” ujarnya.
Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata demikian dalam Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Keningau di Dewan Masyarakat Keningau hari ini.
Terlebih dahulu beliau berkata, tema sambutan tahun ini, “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian” (Harvesting Unity, Celebrating Harmony; dalam bahasa Dusun: Mongomot Pisompuruan, Mamarantai Piunungan) membawa mesej mendalam tentang semangat kebersamaan rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan kepercayaan.
Beliau turut memuji penglibatan pelbagai agensi kerajaan dalam sambutan tahun ini, termasuk Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Jabatan Pertanian, FAMA melalui Program Jualan Agro Madani, Pusat Kraftangan Sabah, MCMC dan SESB. Selain memeriahkan sambutan, kehadiran agensi-agensi ini memberi peluang kepada rakyat mendapatkan informasi dan produk tempatan secara terus.
Turut diadakan pameran rumah etnik yang menampilkan identiti budaya masyarakat setempat melalui penglibatan Persatuan Dusun Bunduliwan Sabah, Pertubuhan Murut Nabai Sabah, Persatuan Dusun Kujau Sabah dan Persatuan Gana Sabah.
Selain itu, Jeffrey merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan istimewa kepada Dr. Velerie Wheelervon Primus atas kejayaan beliau disenaraikan sebagai Top 50 Finalist Global Teacher Prize 2026 serta calon akhir Cambridge Dedicated Teacher Awards 2026.
“Kejayaan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan peribadi, malah turut mengharumkan nama Keningau, Sabah dan Malaysia di persada antarabangsa. Ini membuktikan bahawa anak Sabah, khususnya dari pedalaman Keningau, juga mampu mencipta nama dan memberi impak besar dalam dunia pendidikan global,” kata Jeffrey.
Beliau berharap generasi muda terus memelihara bahasa ibunda, adat tradisi dan budaya masing-masing supaya warisan ini tidak hilang ditelan arus pemodenan. Anak muda Keningau hari ini, katanya, terus membuktikan bahawa mereka mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di persada antarabangsa dalam bidang pelancongan, seni, budaya dan pendidikan.
Turut hadir dalam majlis, ADUN Bingkor Datuk Mohd Ishak Ayub, ADUN Senalang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, barisan pemimpin masyarakat, ketua-ketua jabatan, pengerusi jawatankuasa induk pesta, dan ribuan pengunjung dari dalam dan luar daerah.
