Pemuda UPKO Desak Guna Logo Sendiri, Perjuangan ‘Sabah First’ Lebih Utama Daripada Gabungan Politik

Gambar Pemuda UPKO Gesa Guna Logo Parti

PENAMPANG: 7 November 2025 – Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menegaskan bahawa parti itu perlu menggunakan logo sendiri dalam pilihan raya umum negeri akan datang, sebagai tanda pendirian teguh terhadap perjuangan “Sabah First” dan pelaksanaan hak negeri dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Pemuda UPKO Penampang, Billy Joe Dominic, berkata keputusan itu penting untuk menzahirkan pendirian berprinsip parti di bawah kepimpinan Presiden Datuk Ewon Benedick, yang tegas mempertahankan hak 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip di Sabah sebagaimana diputuskan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu.

Menurutnya, pendirian Ewon yang sanggup melepaskan jawatan Kabinet sekiranya Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah menunjukkan kesungguhan beliau dalam mempertahankan hak negeri.

Beliau menegaskan bahawa semangat perjuangan tersebut perlu diterjemahkan melalui penggunaan logo parti sendiri, walaupun langkah itu mungkin menyebabkan UPKO disingkir daripada Pakatan Harapan (PH).

Billy turut menzahirkan kekecewaan terhadap kepimpinan PH Sabah yang gagal menyelesaikan pelantikan Ewon sebagai pengerusi gabungan berkenaan, walaupun perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat agung PH Sabah. Beliau mendakwa PKR Sabah sering memperkecilkan peranan UPKO dan tidak memberikan layanan setara dalam rundingan politik termasuk pembahagian kerusi.

Katanya, situasi itu membuktikan sudah tiba masanya UPKO berdiri di atas kekuatan sendiri dan kembali kepada asas perjuangan asal, iaitu memperjuangkan hak rakyat dan maruah negeri Sabah tanpa bergantung kepada parti lain.

Pemuda UPKO Penampang sekali lagi menegaskan bahawa penggunaan logo parti sendiri dalam pilihan raya negeri adalah lambang keutuhan perjuangan “Sabah First” serta manifestasi kesediaan parti untuk menanggung sebarang risiko politik demi prinsip yang diperjuangkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal