Pembangunan Sabah perlu seiring pembangunan insan- Hajiji

7c4b9c48 7b56 4aec a933 47e8f8ebe28d

Oleh: Nurul Fazliana Norman

KOTA KINABALU: 25 Ogos 2026 – Pembangunan Sabah perlu dilaksanakan seiring dengan pembangunan insan yang berilmu, berintegriti dan berakhlak untuk memastikan kemajuan negeri memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata pembangunan negeri tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kemajuan fizikal, pertumbuhan ekonomi dan kecanggihan teknologi, sebaliknya perlu turut memberi penekanan kepada pembentukan masyarakat yang mempunyai nilai moral dan rasa tanggungjawab.

Katanya, pengajaran daripada sirah Rasulullah SAW menunjukkan pembangunan masyarakat perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memperkukuh persaudaraan, memelihara kebajikan dan menjadikan keadilan sebagai asas kehidupan bersama.

“Baginda membuktikan bahawa kekuatan kepimpinan bukan hanya terletak kepada kekuasaan, tetapi kepada keupayaan membina kepercayaan, berlaku adil dan memberikan manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji berkata kerajaan negeri komited memastikan pembangunan yang dilaksanakan bersifat inklusif dan memberi manfaat seluas-luasnya kepada rakyat, termasuk masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar.

“Kita mahu membina sebuah negeri yang bukan sahaja maju dari sudut ekonomi dan pembangunan, tetapi turut mempunyai masyarakat yang kukuh nilai moralnya, tinggi integritinya dan erat hubungan sesama mereka,” katanya.

Beliau berkata nilai amanah, keadilan, kesungguhan, ihsan dan keprihatinan yang ditunjukkan Rasulullah SAW perlu terus dijadikan panduan dalam melaksanakan setiap tanggungjawab.

Justeru, Hajiji berkata kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Sabah perlu terus dipelihara sebagai kekuatan yang menjadi asas perpaduan dan keharmonian negeri.

Tambahnya, keamanan dan kestabilan merupakan prasyarat kepada pembangunan kerana tanpa perpaduan, agenda pembangunan yang dirancang akan lebih sukar direalisasikan.

Beliau turut menegaskan kepentingan generasi muda dalam menentukan masa depan negeri, khususnya dalam menghadapi perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI), ledakan maklumat dan perubahan sosial yang pantas.

Katanya, golongan muda perlu dilengkapkan dengan pendidikan, kemahiran, jati diri dan akhlak, selain memanfaatkan teknologi digital untuk menimba ilmu, membangunkan kemahiran dan meningkatkan produktiviti.

Hajiji berkata penerapan nilai murni yang ditunjukkan Rasulullah SAW dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan pentadbiran mampu membantu membina Sabah yang lebih maju, aman, sejahtera dan diberkati Allah SWT.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal