Oleh: Nurul Fazliana Norman
KENINGAU: 8 Julai 2026 – Tujuh pelajar dari Kolej Vokasional (KV) Keningau mengharumkan nama Sabah apabila artikel Bahasa Inggeris hasil penulisan mereka diterbitkan dalam majalah digital keluaran institusi pendidikan Indonesia, STKIP PGRI Pacitan untuk edisi Jun/Julai 2026.
Artikel yang diterbitkan itu mengupas tema kepentingan buku dalam memperkasakan suara dan membawa perubahan kendiri, dengan setiap pelajar menyampaikan pandangan melalui pelbagai pendekatan penulisan berdasarkan perspektif masing-masing.
Jeovahan PJ Ape menulis mengenai peranan buku dalam membentuk pemikiran, manakala Jeffreyson Ng membincangkan gaya penulisan seorang karyawan, Iris Sofea Irfin pula menghasilkan rumusan beberapa buku yang disyorkan untuk dibaca.
Selain itu, Thiery Christian Thomas dan Rachel Asri mengulas buku pilihan masing-masing dan impaknya kepada pembaca, manakala Sharianto Samden menghuraikan langkah memilih dan menelaah buku untuk pembelajaran kendiri yang lebih berkesan.
Sementara itu, Mohd Afiq Adam pula menghasilkan rencana berbentuk temu bual mengenai kesan positif amalan membaca terhadap seseorang individu.
Menurut kenyataan itu, kepelbagaian artikel yang dihasilkan menunjukkan kepentingan penulisan esei dalam pembelajaran dan peranan kewartawanan dalam mengasah pemikiran kritikal.
Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Lumang anak Lang, menyatakan sokongan penuh terhadap usaha para pelajar mempraktikkan kemahiran bahasa yang dipelajari bukan sahaja untuk meningkatkan kebolehan mereka, malah menyebarkan ilmu dan berkongsi pendapat.

