Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
TAWAU: 3 Ogos 2026 – Kerajaan Negeri akan mempergiat pelbagai inisiatif bagi mengukuhkan sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Sabah 2027.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, usaha itu merangkumi penganjuran festival budaya dan alam semula jadi berskala besar, promosi pelancongan berasaskan komuniti dan kempen pemasaran digital.
“Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) ini membuktikan Sabah mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf antarabangsa,” katanya ketika merasmikan FKAT kali ke-11 di pekarangan Majlis Perbandaran Tawau, pada Sabtu.
Menurut Hajiji, penganjuran konsisten FKAT setiap tahun bukan sahaja mempromosikan kepelbagaian budaya negeri ini, malah membuka peluang pendapatan kepada usahawan, pengusaha homestay, penggiat seni dan peniaga kecil.
Turut hadir Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Industri Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd. Arif; serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui.
Sumber: JAPEN

