Oleh: Nurul Fazliana Norman
KENINGAU: 28 Oktober 2026 — Sebelas pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau mencatat pencapaian membanggakan selepas empat kajian projek tahun akhir mereka diterbitkan dalam jurnal akademik IDEA’S Jilid Empat pada 15 Oktober lalu. Kajian itu merangkumi penghasilan makanan untuk kanak-kanak talasemia hingga pembinaan mesin baja kompos bersama petani.
Penerbitan dalam jurnal terbitan bersama Kolej Komuniti Tawau dan Kolej Komuniti Penampang memperlihatkan keupayaan pelajar pendidikan vokasional menghasilkan penyelidikan berasaskan bidang kemahiran masing-masing. Ia sekali gus membuktikan kualiti bimbingan guru di kolej vokasional.
Empat kajian terbabit merangkumi program Seni Kulinari, Teknologi Pembinaan, Teknologi Kimpalan dan Teknologi Elektrik. Kesemuanya merupakan rumusan penyelidikan projek tahun akhir yang diwajibkan sebagai sebahagian daripada kurikulum kolej vokasional.
Setiap pelajar dibimbing oleh guru masing-masing sepanjang pelaksanaan kajian dan penyediaan artikel ilmiah.
Kajian pertama oleh pelajar Seni Kulinari, Ceatelean Grace Terrence, memfokuskan penghasilan produk makanan untuk kanak-kanak yang menghidap talasemia. Kajian itu turut melibatkan pemerhatian terhadap reaksi kanak-kanak ketika mencuba produk berkenaan di Hospital Keningau, dengan kebenaran pihak hospital dan pengawasan ibu bapa.
Pelajar Teknologi Pembinaan, Donivia Diane David dan Nur Syazwa Alwani Juhaineh, menjalankan kajian mengenai isu pengambilan tanah untuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo. Kajian itu melibatkan temu bual bersama penduduk sebuah kampung di daerah Sipitang dan lawatan ke Jabatan Tanah dan Ukur Sipitang untuk mendapatkan maklumat berkaitan.
Lima pelajar Program Teknologi Kimpalan, iaitu Nur Alia Ayuni M. Husrin, Dylan Iyander Lucas, Andrew Mark Dalubatan, Hakimi Abdul Halil dan Mohd Shukur Roslan, bekerjasama dengan petani tempatan menghasilkan mesin pemprosesan sisa makanan untuk dijadikan baja kompos.
Tiga pelajar Teknologi Elektrik, Claijster Christian Sylvester, Alleyson Voo dan Alleyya Deeva Tommy, menghasilkan projek demonstrasi pengagihan tenaga elektrik sebagai alat bantu mengajar.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, memuji usaha pelajar menghasilkan projek tahun akhir yang bukan sahaja memenuhi keperluan kurikulum, malah turut disusuli kajian untuk menilai keberkesanannya melalui penulisan ilmiah.
“Pencapaian itu membuktikan kualiti pendidikan di kolej vokasional dalam membimbing pelajar meneroka bidang penyelidikan dan menghasilkan kajian berdasarkan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari,” ujarnya.
Jurnal IDEA’S Jilid Empat 2026 diterbitkan oleh Kolej Komuniti Tawau dan Kolej Komuniti Penampang, dengan penerbitan dibahagikan kepada dua jilid. Jurnal berkenaan boleh diakses melalui pautan berikut:

