Oleh: Nurul Fazliana Norman
KENINGAU: 28 September 2026 – Lebih 20 pelajar berkeperluan khas Tingkatan Lima dari Kolej Vokasional Keningau (KV Keningau) meraih tiga pingat emas, dua perak dan dua gangsa menerusi tujuh projek dalam Borneo Festival of Ideas (BFOI) 2026 di zon Ranau dan Kota Kinabalu.
Penyertaan itu melibatkan pelajar bermasalah pendengaran yang menggunakan bahasa isyarat dan pelajar neurodivergen, sekaligus memberi mereka peluang mengetengahkan kreativiti dan kemahiran vokasional dalam pertandingan inovasi.
Ahli utama Jawatankuasa Penganjur BFOI 2026, Profesor Dr Jidon @ Adrian Janaun, berkata penyertaan pelajar berkeperluan khas itu membuktikan festival berkenaan menyediakan ruang inklusif untuk masyarakat pelbagai latar belakang.

“Kami mahu memastikan program ini bersifat inklusif dan memberi ruang kepada rakyat Sabah dari pelbagai latar belakang untuk mengetengahkan kreativiti, usaha keusahawanan dan cadangan penyelesaian mereka,” katanya.
Daripada tujuh projek, empat dipertandingkan dalam Borneo Solid Waste Management Innovation Challenge (BSWMIC), dua dalam Pertandingan Inovasi Kearifan Borneo (PIKB) dan satu dalam STEAMQuest Ignite. Projek itu dibangunkan berdasarkan bidang vokasional pelajar, terutama pembuatan perabot dan jahitan pakaian.
Penyertaan itu menjadi pengalaman pertama pelajar terbabit menyertai pertandingan inovasi secara fizikal yang terbuka kepada orang ramai. Walaupun pengalaman baharu, mereka tidak menghadapi kesukaran membentangkan projek kepada panel hakim dan berinteraksi dengan pengunjung sepanjang program.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, berkata pihak kolej komited menyediakan pendidikan berkualiti tinggi, termasuk memberi peluang kepada pelajar berkeperluan khas di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) menyertai pertandingan dan aktiviti pembangunan diri.
“Kami amat menghargai dedikasi guru-guru pendidikan khas yang sentiasa membimbing, menyokong dan mengurus para pelajar sepanjang penyertaan mereka dalam festival ini,” katanya.

BFOI 2026 dianjurkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP) dengan kerjasama Institute for Development Studies (IDS). Festival itu kesinambungan Sabah Festival of Ideas 2025, dengan pusingan akhir BFOI 2026 dijadualkan di UMS pada 13 hingga 14 Oktober 2026.

