Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
KUALA LUMPUR: 28 September 2026 – Fenomena KUDRAT 1968: High Council terus mencipta impak dalam kalangan penonton apabila pengaruh siri premium Astro Original itu berkembang melangkaui skrin menerusi House of KUDRAT di Astro Experience Store, IOI City Mall, Putrajaya.

Sejak ditayangkan pada 11 September lalu, siri terbitan Astro Shaw arahan Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff itu mencuri perhatian menerusi kisah konflik, persahabatan, kuasa dan pengkhianatan, selain membina budaya fandom tersendiri.
Siri berkenaan turut mendominasi carta 10 kandungan televisyen teratas di Astro dan sooka, selain muncul sebagai siri nombor satu di Netflix Malaysia selama dua minggu berturut-turut.Meskipun baru dua episod ditayangkan, KUDRAT 1968 merekodkan lebih 90 juta tontonan menerusi klip media sosial dalam tempoh 14 hari.

Fenomena itu diteruskan menerusi House of KUDRAT yang membawa elemen siri berkenaan kepada peminat dalam bentuk pengalaman secara langsung untuk tempoh sehari.
House of KUDRAT turut menampilkan kolaborasi bersama jenama fesyen tempatan, Christy Ng menerusi koleksi eksklusif Christy Ng X KUDRAT 1968, termasuk beg dan stokin edisi khas.

Menerusi Astro Rewards, peminat berpeluang bertemu barisan pelakon termasuk Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Akmal Asyraf, Chech Harith, Evertts Gomes, Muzayyin Mahyuddin, Umar Shakur dan Jebat Zulfar.
KUDRAT 1968: High Council kembali dengan episod ketiga pada 9 Oktober, diikuti episod keempat pada 16 Oktober, setiap Jumaat jam 9 malam menerusi Astro Ria Saluran 104 dan Astro Citra Saluran 108.Pelanggan juga boleh menonton episod lebih awal mulai tengah malam menerusi sooka atau Astro X3, penawaran berasaskan penstriman tanpa dekoder, pemasangan atau kontrak, bermula RM39.99.
Filem KUDRAT 1968 pula bakal menemui penonton di pawagam tahun ini.

