Dua Polis Ditahan Kes Pemerasan, Lelaki Disahkan Meninggal Akibat Serangan Jantung

Baling: 23 September 2025 – Dua anggota polis ditahan selepas didakwa terbabit dalam kes pemerasan terhadap seorang lelaki yang kemudian meninggal dunia akibat serangan jantung.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali berkata, dua anggota terbabit berusia 24 dan 27 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Kes berkenaan terbongkar selepas seorang wanita warga emas berusia 74 tahun membuat laporan polis pada Sabtu lalu, memaklumkan anak lelakinya yang berusia 32 tahun pulang ke rumah pada petang Jumaat lalu mendakwa dia ditahan polis ketika menunggang motosikal.

Mangsa memberitahu ibunya bahawa polis merampas telefon bimbitnya dan meminta wang RM200 untuk mendapatkan semula telefon berkenaan.

Namun ketika wanita itu bersama anaknya hendak menyerahkan wang, lelaki tersebut tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri.

Warga emas itu kemudian menghubungi Klinik Kesihatan Parit Panjang bagi mendapatkan bantuan pemeriksaan dan petugas kesihatan yang hadir mengesahkan lelaki berkenaan sudah meninggal dunia.

Pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling tiba di rumah mangsa pada malam Sabtu lalu dan siasatan mendapati tiada kesan kecederaan serta unsur jenayah pada tubuh mangsa.

Jenazah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.

Laporan perubatan mengesahkan punca kematian ialah “Acute Myocardial Infarction” atau serangan jantung mendadak.

Polis telah membuka kertas siasatan tatatertib dan menahan dua anggota berkenaan untuk membantu siasatan lanjut dan hasil semakan mendapati kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah.

Ujian saringan air kencing turut mengesahkan mereka bebas daripada dadah.

Kedua-dua suspek direman selama dua hari untuk membantu siasatan terperinci bagi memastikan keadilan diberikan kepada semua pihak.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal