TAMBUNAN: 4 Oktober 2026 — Pasukan Orkestra Jazz Bayu Ritma SEMENTA (BRS) yang mewakili Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah meraih tempat keempat dalam Pertandingan Jazz Orkestra Perpaduan Generasi Madani Peringkat Kebangsaan 2026.
Pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu berlangsung selama tiga hari, dari 28 hingga 30 September 2026, di Dewan Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Dalam kategori Sekolah Menengah JPN (Sekolah Harian), kontinjen Sabah yang diwakili pasukan gabungan SMK Tambunan dan SM St. Martin bersaing dengan 14 kontinjen negeri lain. Kejayaan itu meletakkan BRS dalam kelompok empat terbaik negara.

Menurut pengurusan pasukan, pencapaian tersebut dicapai meskipun pasukan berdepan kekangan logistik. Pasukan yang dianggotai remaja berusia 13 hingga 16 tahun itu menghadapi isu had berat kargo di lapangan terbang sehingga hampir menjejaskan instrumen papan kekunci utama mereka.
Demi memastikan persembahan dapat diteruskan, pasukan meminjam instrumen dari kontinjen lain selepas alat gantian di Terengganu didapati tidak sesuai.
Pasukan BRS dibimbing Ketua Jurulatih Nick Arddley Nicholas, dibantu Aerence Judih dan Nick Audrey Nicholas dari House of Music Arts (HOMARTS), Tambunan.
Empat guru pengiring turut hadir, iaitu Cikgu Delna Cleophas, Cikgu Macrina S. Yubong, Cikgu Nancy Liging dan Cikgu Frenysia Frencis, bersama empat wakil ibu bapa peserta.
Pengurusan BRS merakamkan penghargaan kepada penyumbang dana dan komuniti setempat atas sumbangan masa, tenaga dan kewangan sejak pasukan dibentuk pada Mei lalu.
Pada edisi ini, kejuaraan keseluruhan disandang kontinjen JPN Perak (Orkestra Muda Bainun), diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai naib johan dan Terengganu di tempat ketiga.

