Orca Puller juara Limbang Open International Tug of War 2026

IMG 4243

Oleh: Nurul Fazliana Norman

KENINGAU: Pasukan tarik tali Kolej Vokasional (KV) Keningau, Orca Puller, membuktikan kemampuan pelajar vokasional selepas muncul juara kategori lelaki bawah 23 tahun pada kejohanan Limbang Open International Tug of War 2026.

Kejayaan di Kompleks Sukan Limbang, Sarawak, dari 12 hingga 15 November lalu itu membolehkan mereka membawa pulang piala, pingat, sijil dan wang tunai RM5,000.

Kejohanan anjuran Persatuan Tarik Tali Bahagian Limbang itu disertai 53 pasukan dari Selangor, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Brunei dan Sabah. Tiga kategori dipertandingkan iaitu wanita terbuka, lelaki terbuka dan lelaki bawah 23 tahun.

Orca Puller mempamerkan prestasi cemerlang dengan menewaskan Red Giant BC dari Selangor, KRAKEN dari Limbang, BST-SIX BC dan Chainblock Junior dari Brunei pada peringkat kumpulan.

Pasukan itu kemudian menewaskan BST-SIX BC sekali lagi pada separuh akhir sebelum mengesahkan kejuaraan selepas menumpaskan Bukit Kapar dari Selangor dengan keputusan 3-0 pada perlawanan akhir.

Pasukan berkenaan dibarisi 10 pelajar diploma KV Keningau iaitu Abdul Afkar Sulaim bin Yunus, Haiqal, Carl David, Lyeo Alexander Jumani, Ferdi Lasung Suzandi, Nick Syam, Langub Peter, Muhammad Maz Zackwan Lee, Helvince Vells ak Vincent dan Paul Theoveron Tinggie Morris.

Mereka dibimbing jurulatih khas, Norman Chan Yuen Fong, manakala pengurusan pasukan dikendalikan dua guru kolej berkenaan, Firdaus Sariman dan Nirwana Japili.

Pengarah KV Keningau, Dr. Shamsir Nureddin, menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti kegigihan, komitmen dan disiplin tinggi para pelajar sepanjang menjalani latihan secara konsisten.

Beliau menegaskan sokongan penuhnya terhadap penglibatan pelajar dalam aktiviti sukan kerana ia bukan sahaja mencungkil bakat, malah membantu membentuk keperibadian, disiplin dan semangat berpasukan.

“Diharapkan kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada pelajar lain untuk terus aktif dalam bidang sukan dan berusaha mencapai kecemerlangan bukan sahaja dalam akademik, tetapi juga kokurikulum,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal