Oleh: Roodwill
SOOK: Sebagai pelajar luar, sebahagian besar masa Mohd Fazli Abdullah di rumah berlalu tanpa rutin ulang kaji yang konsisten. Namun kebimbangan seorang ibu akhirnya menjadi titik perubahan yang mengubah perjalanan akademiknya.
Melihat anaknya yang jarang belajar di rumah, ibunya menyarankan agar Fazli menumpang di asrama demi memberi tumpuan kepada peperiksaan yang semakin hampir.
Ketika itu, dia tidak menyangka keputusan tersebut akan menjadi titik kebangkitan yang akhirnya membawanya meraih PNGK 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Menjelang 10 hari sebelum peperiksaan Semester 1, mama saya mula risau sebab nampak saya yang tidak pernah belajar di rumah.
“Jadi mama suruh saya masuk asrama untuk menumpang dan dari situ saya mula belajar sedikit demi sedikit untuk menghadapi peperiksaan,” katanya.
Namun keputusan Semester 1 yang diterima selepas itu jauh dari apa yang diharapkannya.
Bagi Fazli, keputusan tersebut menjadi tamparan besar kerana sebelum itu dia merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Keningau yang memperoleh 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Semasa keputusan keluar, saya terkejut kerana mendapat keputusan yang teruk.
“Sejak peristiwa itu saya rasa sangat malu dengan diri sendiri. Dari situlah saya mulai lebih fokus kepada perkembangan dan penambahbaikan diri, terutama dalam pelajaran,” katanya.
Anak Kampung Rancangan Belia Tiulon itu berkata, pengalaman tersebut mengubah cara dia melihat pelajaran dan tanggungjawab sebagai seorang pelajar.
Sejak itu, dia mula memberi keutamaan kepada akademik dan berusaha memperbaiki kelemahan yang ada dari semester ke semester.
Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil ketika dia berjaya memperoleh PNGK 4.0, sesuatu yang pada mulanya tidak pernah dijangka.
“Sebaik sahaja keputusan keluar, saya sangat gembira dan terkejut. Pada awalnya saya tidak berharap sangat untuk mendapat 4.00.
“Tetapi setelah melihat keputusan setiap semester, saya mula rasa mungkin saya ada peluang untuk mencapainya. Sebab itu apabila melihat keputusan akhir, saya benar-benar lega dan gembira,” katanya.
Di sebalik kejayaan tersebut, keluarga menjadi antara sumber kekuatan terbesar sepanjang pengajian di Tingkatan Enam.
Katanya, ibu bapanya sentiasa memberikan sokongan dari segi kewangan, keperluan harian dan motivasi sepanjang tempoh pengajian.
“Ibu selalu mendoakan saya dan memberi motivasi. Bapa pula sentiasa berusaha memudahkan urusan saya sepanjang pengajian.
“Saya amat bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang sangat supportive dan menjadi salah satu sebab saya mendapat keputusan STPM 4.00,” katanya.
Malah, orang pertama yang terlintas di fikirannya selepas melihat keputusan tersebut ialah ibu bapanya kerana dia berasa gembira dapat menjadi kebanggaan keluarga.
Perjalanan menuju PNGK 4.0 bagaimanapun bukan sesuatu yang mudah.
Sebagai Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Fazli perlu membahagikan masa antara tanggungjawab kepimpinan dan akademik.
“Cabaran terbesar saya ialah mengurus masa dengan baik kerana jadual Tingkatan Enam memang padat.
“Sebagai ahli MPP, saya perlu sentiasa fleksibel dan menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan. Pada masa yang sama, saya perlu memastikan pelajaran kekal menjadi keutamaan,” katanya.
Disebabkan kekangan masa, dia sering mengorbankan waktu rehat untuk menyiapkan tugasan dan mengulang kaji pelajaran.
Menurut Fazli, pengorbanan terbesar yang dilakukan sepanjang mengejar keputusan cemerlang ialah masa rehatnya sendiri.
“Kalau masa dalam jadual harian saya tidak cukup, masa rehatlah yang selalu saya korbankan.
“Disebabkan itu, saya sering kurang rehat dan kesihatan saya kadang-kadang terjejas,” katanya.
Sejak menetap di asrama pada Semester 2, Fazli memanfaatkan peluang yang ada untuk memberi lebih tumpuan kepada pelajaran.
Katanya, pihak asrama tidak menghadkan masa persediaan malam, membolehkannya meneruskan ulang kaji dan menyiapkan tugasan selepas waktu prep.
Menurut Fazli, ramai melihat keputusan 4.0 yang diraih hari ini, tetapi tidak mengetahui rutin yang dilaluinya setiap hari.
“Ada masanya saya belajar sehingga jam satu atau dua pagi. Menjelang dua minggu sebelum peperiksaan, saya akan tambah masa ulang kaji sehingga jam tiga pagi.
“Kadang-kadang saya datang ke sekolah dengan waktu tidur kurang daripada lima jam sehari. Ada masanya saya tertidur di dalam kelas kerana terlalu penat,” katanya.
Selain perlu mengejar tugasan akademik, dia juga perlu menunaikan tanggungjawab sebagai ahli MPP.
Keadaan itu menyebabkan dia berdepan keletihan fizikal, burnout dan hilang fokus pada masa tertentu, namun tetap berusaha untuk kembali konsisten.
Menurut Fazli, masalah kesihatan seperti demam dan sakit badan juga kerap berlaku akibat kekurangan rehat, namun dia memastikan perkara itu tidak menjadi alasan untuk mengabaikan pelajaran.
Prinsip yang sentiasa dipegang sepanjang pengajian ialah:
“Selagi kertas peperiksaan belum di depan mata, selagi itu masih ada masa untuk buat sesuatu.”
Katanya, prinsip tersebut sentiasa mengingatkannya supaya tidak cepat mengalah walaupun berdepan tekanan dan kesukaran.
Bagi Fazli, pencapaian yang diraih hari ini bukan hasil usahanya seorang diri.
“Apa yang saya raih hari ini bukan hasil usaha saya sendiri sahaja.
“Guru-guru yang sentiasa meluangkan masa untuk memberi tunjuk ajar, keluarga yang berusaha mencukupkan keperluan dan rakan-rakan yang sentiasa membantu menjadi tulang belakang kepada kejayaan saya,” katanya.
Selepas ini, Fazli berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan berharap dapat menyambung pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk mengejar cita-citanya sebagai seorang guru.
Dia juga berharap dapat memperoleh tajaan biasiswa untuk membantu meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Mengakhiri perkongsiannya, Fazli berpesan kepada pelajar lain agar sentiasa berusaha bersungguh-sungguh, menjaga hubungan dengan guru, ibu bapa dan Tuhan serta tidak mudah berputus asa.
“Ingat, usaha tidak mengkhianati hasil,” katanya.
