Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
KOTA KINABALU: 4 September 2026 — Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM140 juta tahun ini.
Menteri Kerajaan Tempatan, Perumahan, Mohd Arifin Mohd Arif berkata, setakat Ogos tahun ini, MUIS berjaya mengutip RM95 juta, dengan zakat penggajian menjadi penyumbang terbesar sebanyak 47 peratus.

Katanya, zakat perniagaan menyumbang 27.12 peratus daripada keseluruhan kutipan, justeru MUIS berharap lebih banyak pihak perniagaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil menunaikan zakat perniagaan.
“Kita berharap akan lebih ramai pihak perniagaan termasuk GLC menunaikan zakat perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat THP Sabaco Sdn Bhd kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Menurut Arifin yang juga Exco Agama, hasil kutipan zakat diagihkan kepada golongan asnaf termasuk pembangunan pendidikan anak Sabah di luar negara.
“Hampir 200 anak Sabah ditaja MUIS melanjutkan pengajian di Mesir, manakala lebih 20 anak Sabah menerima dermasiswa ke Jordan,” katanya.
Jelasnya, MUIS memastikan pengurusan dana zakat dilaksanakan secara telus, bertanggungjawab, kemudian disalurkan kepada asnaf yang layak termasuk fakir miskin, mualaf.
Sumber: JAPEN

