Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
RANAU: 20 Julai 2026 – Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sabah (MSS Sabah) Ke-58 bukan sekadar medan pemilihan atlet terbaik ke peringkat kebangsaan, malah turut menguji ketahanan mental dan fizikal peserta menerusi lokasi pertandingan yang terletak di kawasan tanah tinggi.
Kompleks Sukan Ranau, yang menjadi tuan rumah kejohanan enam hari, menawarkan keadaan cuaca lebih selesa berbanding kawasan rendah yang panas, namun faktor altitud menjadi cabaran tersendiri untuk atlet dalam menyesuaikan diri sepanjang pertandingan berlangsung.

Seorang jurulatih dari Keningau menyifatkan pemilihan venue itu amat tepat untuk mengukur tahap kecergasan sebenar peserta.
“Tempat ini memang sangat sesuai kerana menguji mental dan fizikal atlet. Kedudukannya di kawasan tinggi menjadikan stamina dan ketahanan mereka benar-benar diuji,” katanya.
Sementara itu, seorang pegawai kontinjen dari Kudat memuji persiapan penganjur dan keadaan cuaca yang menggalakkan.
“Lokasi ini sangat strategik dengan cuaca yang baik dan kurang panas. Persiapan penganjur juga sangat memuaskan,” katanya, sambil berharap semua pasukan menunjukkan komitmen dan disiplin tinggi sepanjang kejohanan.
“Harapan kami agar semua pasukan memberikan yang terbaik dan mewujudkan persaingan yang sihat,” tambahnya.
Kejohanan yang disertai 1,099 atlet dari 24 Pejabat Pendidikan Daerah itu turut menjadi platform penting mencungkil bakat baharu dalam membentuk pasukan negeri yang lebih mantap untuk menghadapi pertandingan di peringkat kebangsaan.
credit: Steve George (Jurukamera)

