KOTA KINABALU: 20 Julai 2026 — Kerajaan Sabah melaksanakan dua projek bernilai lebih RM119.12 juta bagi meningkatkan kapasiti dan kebolehpercayaan bekalan elektrik di Semporna, sekali gus menyokong pertumbuhan pelancongan, perumahan, pelaburan dan aktiviti ekonomi di daerah itu.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan Pencawang Masuk Utama (PMU) baharu dan sebuah Pencawang Pembahagian Utama (PPU) bagi memenuhi peningkatan permintaan elektrik.
Menjawab soalan Tuan Haji Jamil Hamzah (Bugaya) di Dewan Undangan Negeri hari ini, beliau memaklumkan projek naik taraf PMU Semporna bernilai RM74.12 juta dijangka siap Oktober 2027, manakala pembinaan PPU bernilai RM45 juta dijangka siap 2029 dan kini dalam peringkat kelulusan izin lalu serta pengambilan tapak.
Menurut Dr Joachim, projek ini bertujuan mengurangkan beban di PMU Semporna sedia ada yang kini beroperasi melebihi had kapasiti tetap (above firm) dan meningkatkan kebolehpercayaan bekalan berikutan pertumbuhan beban pengguna.
Beliau berkata, Sabah Electricity sentiasa memantau keperluan bekalan untuk memastikan kapasiti sistem mampu menampung permintaan seiring pembangunan hotel, resort, perumahan dan ekonomi setempat.
“Apabila kedua-dua projek ini siap dilaksanakan, kapasiti dan kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik di Semporna akan dipertingkatkan dengan ketara. Ia bukan sahaja mampu memenuhi pertumbuhan permintaan semasa dan masa hadapan, malah akan menyokong pembangunan sektor pelancongan, pelaburan, perumahan dan aktiviti ekonomi yang pesat di daerah Semporna,” katanya.
Pelaksanaan kedua-dua projek itu dijangka memperkukuh infrastruktur bekalan elektrik di Semporna, sekali gus menyokong pembangunan berterusan daerah itu sebagai antara destinasi pelancongan utama Sabah.

