TUARAN: 1 Jun 2027 – Miss World Malaysia 2025, Taanusiya Chetty, akan melaksanakan projek komuniti berteraskan konsep “Beauty With A Purpose” (BWAP) di Sabah dari 30 Mei hingga 3 Jun ini, melibatkan daerah Tuaran, Tamparuli dan Kiulu.
Taanusiya yang bakal mewakili Malaysia ke pertandingan Miss World di peringkat antarabangsa pada Ogos depan akan menyertai pelbagai program pendidikan, kesukarelawanan, budaya dan pembangunan komuniti sepanjang lawatan berkenaan.
Antara pengisian program ialah kehadirannya pada Sambutan Kemuncak Kaamatan 2027 di Hongkod Koisaan KDCA, aktiviti budaya bersama komuniti di Kiulu, projek komuniti di SK Pahu, Tuaran, dan sesi perkongsian berkaitan kecerdasan buatan (AI) untuk pelajar.
Program komuniti di SK Pahu pada 2 Jun akan melibatkan aktiviti mural cap tangan bertemakan “No One Left Behind”, penyampaian sumbangan buku ilmiah, alat tulis, rak buku perpustakaan, barangan keperluan pelajar, dan bakul makanan kepada warga emas setempat.
Selain itu, Taanusiya juga dijadualkan berkongsi mengenai penggunaan teknologi AI secara positif untuk pembelajaran dan pembangunan ilmu sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan.
Delegasi Miss World Malaysia juga akan mengunjungi Kiulu untuk mendekati budaya dan kearifan tempatan masyarakat Dusun melalui aktiviti tradisional momihubang, selain mempromosikan hasil karya pereka fesyen Sabah menerusi beberapa sesi fotografi di lokasi ikonik negeri ini.
Program ini dianjurkan oleh Majlis Wanita KDCA Tuaran, Tamparuli dan Kiulu dengan kerjasama PIBG SK Pahu Tuaran.
Menurut penganjur, inisiatif berkenaan merupakan program pertama yang melibatkan platform Miss World bersama komuniti luar bandar di Sabah, sekali gus mengetengahkan aspek pendidikan, pembangunan komuniti, budaya dan kearifan tempatan ke peringkat yang lebih luas.
