Mini Karnival KPKM Bawa Pertanian ke Pedalaman Sabah

SOOK: 6 September 2025 – Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, mengetuai pelaksanaan Mini Karnival KPKM “Pertanian Untuk Semua” di Kampung Membulu, Sook, yang menjadi lokasi pertama program julung kali itu diadakan.

Karnival itu dianjurkan bagi menyampaikan perkhidmatan kementerian terus ke peringkat akar umbi, khususnya di kawasan pedalaman luar bandar Sabah, agar golongan petani, penternak, nelayan, dan usahawan tani mendapat akses kepada sokongan, peluang pasaran serta teknologi moden.

Penganjuran ini turut melibatkan Lembaga Pertubuhan Peladang Sabah bersama agensi lain seperti FAMA Sabah, MARDI, dan Agrobank, sekali gus memperkukuh kerjasama dalam usaha memperkasakan komuniti luar bandar.

Selain itu, belia tempatan turut didedahkan dengan prospek kerjaya agropreneur melalui penerapan teknologi baharu termasuk penggunaan dron pertanian, sistem fertigasi, Internet of Things (IoT) serta aplikasi digital pemasaran.

Menurut hantaran di laman rasmi Facebook Arthur, usaha ini selari dengan komitmen KPKM untuk memastikan sektor pertanian dan agromakanan tidak hanya tertumpu di bandar, sebaliknya turut memberi perhatian khusus kepada kawasan pedalaman.

Beliau menegaskan bahawa inisiatif sebegini penting untuk melahirkan generasi petani moden yang progresif serta meningkatkan kesejahteraan rakyat luar bandar.

Dengan penganjuran Mini Karnival ini, KPKM yakin masyarakat pedalaman tidak akan tercicir dari arus pembangunan negara, sebaliknya berupaya menikmati peluang yang sama dalam memajukan ekonomi setempat.

Sumber: Facebook Arthur Joseph Kurup

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal