SEMPORNA: 29 Oktober 2025 — Polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 200.54 gram bernilai RM22,059.40 dan menahan seorang lelaki bukan warganegara dalam satu operasi di Kampung Sri Jaya, Semporna.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Jaafar bin Hakim berkata, tangkapan dilakukan pada 21 Oktober lalu sekitar jam 11.30 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dengan bantuan anggota Balai Polis Pulau Bum Bum.

Pemeriksaan ke atas suspek menemui beg silang berwarna hitam bertulis “New York, Los Angeles, Tokyo, London, Paris” yang mengandungi bungkusan plastik hitam. Di dalamnya terdapat empat bungkusan plastik cerah berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Pihak polis menegaskan komitmen untuk terus mempergiat operasi memerangi aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini serta menyeru orang awam menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras jenayah tersebut.
Sumber: Polis Daerah Semporna

