Malaysia, Australia Sokong Seruan Damai Paus Leo XIV-Anwar

IMG 2871

PUTRAJAYA: 17 April 2026-Malaysia dan Australia menyatakan sokongan terhadap seruan keamanan global yang disuarakan Paus Leo XIV susulan ketegangan konflik di Timur Tengah yang semakin memuncak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seruan Paus Leo XIV merupakan suara moral sejagat yang wajar disokong tanpa mengira agama atau bangsa.

Menurutnya, pendirian bersama itu turut dikongsi rakan sejawatannya dari Australia, Anthony Albanese.

“Albanese seorang Katolik, saya seorang Muslim, tetapi kita mempunyai persamaan. Kita sangat menghormati Paus Leo di Vatican.

“Kami mengikuti kenyataan-kenyataan Paus dan kami berkongsi keinginan untuk keamanan, keadilan, dan pendirian bahawa segala kekejaman mesti dihentikan,” katanya dalam sidang media bersama di sini, hari ini.

Anwar berkata, mana-mana pihak yang waras pasti menyokong pendirian Paus yang lantang menentang ketidakadilan, termasuk berkaitan Gaza, Timur Tengah dan serangan ke atas Tehran.

Sementara itu, Albanese menyifatkan Paus Leo sebagai tokoh bernas, bermaruah dan luar biasa yang mampu memainkan peranan penting dalam wacana keamanan dunia.

“Kami akan terus berusaha ke arah de-eskalasi dan penyelesaian melalui dialog, bukannya tindakan ketenteraan,” katanya.

Beliau berkata, konflik moden memberi kesan besar terhadap kestabilan ekonomi global selain mengorbankan nyawa orang awam.

Sokongan itu hadir selepas Paus Leo XIV menggesa pertempuran dihentikan segera dan mengkritik penyalahgunaan agama untuk mewajarkan keganasan.

Sebagai rekod, Malaysia di bawah pimpinan Anwar terus mengekalkan hubungan erat dengan Takhta Suci, termasuk menghantar wakil ke pemakaman Paus Francis pada 2025 dan mengalu-alukan pemilihan Paus Leo XIV, paus pertama dari Amerika.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal