KUALA LUMPUR: 6 Okt 2026 – Ahli Parlimen Tuaran Datuk Madius Tangau mendesak kerajaan memasukkan lima komitmen utama untuk mengukuhkan perkhidmatan kesihatan di Sabah dalam Belanjawan 2027. Setiap komitmen perlu disokong peruntukan dana, garis masa pelaksanaan dan ukuran pencapaian yang jelas.
“Tuntutan ini bukan untuk mendapatkan layanan istimewa, sebaliknya ia bersandarkan realiti sebenar keperluan mendesak perkhidmatan kesihatan di Sabah,” katanya semasa membahaskan perkara itu di Dewan Rakyat, kelmarin.
Lima cadangan kritikal dikemukakan untuk pertimbangan Kementerian Kesihatan Malaysia. Pertama, pelan khas anti-kesesakan menetapkan keutamaan, peruntukan dan garis masa untuk mengurangkan kesesakan di hospital dan klinik kesihatan di Sabah.
Kedua, suruhanjaya perkhidmatan kesihatan dicadangkan sebagai badan dengan mandat khusus untuk merancang keperluan tenaga kerja, pelantikan, laluan kerjaya dan kerangka saraan petugas kesihatan dan perubatan.
Ketiga, pembiayaan tenaga kerja berbilang tahun untuk memastikan pewujudan jawatan dan laluan kerjaya tidak lagi bergantung kepada kelulusan ad hoc (khusus untuk tujuan tertentu) setiap tahun demi kestabilan perkhidmatan.
Keempat, insentif baharu dan kuota UMS meliputi pengembalian Bayaran Insentif Wilayah berasaskan gaji progresif, tawaran bonus mula tugas RM5,000 dan bonus pengekalan RM10,000 selepas lima tahun. Cadangan itu turut merangkumi usaha mengehadkan tempoh penempatan doktor dari Semenanjung dan menyediakan kuota kemasukan munasabah di Universiti Malaysia Sabah.
Kelima, sistem rekod digital (EMR) melibatkan pelaksanaan Sistem Rekod Perubatan Elektronik yang bersepadu dan selamat antara klinik kesihatan dengan hospital untuk memastikan kesinambungan rawatan.
Menggambarkan keadaan kesesakan, Madius berkongsi pengalaman bapanya semasa mendapatkan rawatan di sebuah Klinik Kesihatan di Penampang, baru-baru ini. Sekitar 200 pesakit warga emas dilihat bersesak menunggu giliran sekitar pukul 10 pagi, dengan hanya dua doktor bertugas di dalam bilik kecil menggunakan satu meja.
Lebih membimbangkan, fail rekod perubatan bapanya hilang selepas sampel darah diambil dan masih gagal dikesan sehingga 5 Oktober.
“Isu ini bukan sekadar kehilangan satu fail fizikal. Rekod pesakit mengandungi sejarah penyakit, ubat-ubatan dan keputusan pemeriksaan penting. Keadaan ini jelas menjejaskan kesinambungan rawatan, keselamatan pesakit dan kerahsiaan maklumat perubatan,” katanya.
Beliau menambah kesesakan di klinik turut memberi tekanan kepada hospital rujukan di Kota Kinabalu.
Dari segi pembiayaan, Madius mencadangkan sebahagian penjimatan daripada rasionalisasi subsidi yang bercanggah dengan agenda kesihatan awam disalurkan terus kepada insentif tenaga kesihatan. Beliau menganggarkan RM5 juta diperlukan untuk bonus mula tugas kepada 1,000 pegawai, manakala RM10 juta diperlukan untuk bonus pengekalan jumlah penerima sama.
Madius mengakhiri ucapannya dengan meminta penjelasan menteri sama ada semua komitmen berkenaan akan dimasukkan dalam Belanjawan 2027. Beliau mengingatkan kerajaan supaya peningkatan kemudahan fizikal turut disusuli dengan kecukupan bilangan petugas kesihatan.

