KUALA LUMPUR: 2 Julai 2026 – Isu kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing berikutan penutupan Jambatan Tamparuli (Low Level Crossing) dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, dalam sesi pertanyaan lisan kepada Menteri Kerja Raya di Dewan Rakyat, hari ini.
Madius, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli meminta Kementerian Kerja Raya (KKR) menjelaskan langkah-langkah alternatif bagi mengurangkan kesesakan yang memberi kesan kepada ribuan pengguna jalan raya setiap hari.
“Penutupan ini telah memberi kesan yang ketara dan menyebabkan kesesakan di Jalan Telibong-Pekan Tamparuli dan laluan utama Jalan Tamparuli-Ranau,” tegasnya.
Dalam jawapan bertulis, KKR memaklumkan bahawa Jambatan Tamparuli berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan diselenggara oleh syarikat konsesi yang dilantik oleh Kerajaan Negeri.
Penutupan jambatan terpaksa dilakukan selepas struktur jambatan mengalami kerosakan yang memerlukan kerja-kerja pembaikan segera demi menjamin keselamatan pengguna.
KKR menjelaskan bahawa kerja-kerja baik pulih sedang giat dilaksanakan dan dijadualkan siap sepenuhnya pada penghujung September 2026. Jambatan itu dijangka dibuka semula kepada orang ramai pada awal Oktober 2026, sekiranya mengikut jadual yang ditetapkan.
Sepanjang tempoh penutupan, pengguna jalan raya disarankan menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Bontoi-Tamparuli dan Jalan Kota Kinabalu-Kudat bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.
Bagi penyelesaian jangka panjang, KKR memaklumkan bahawa Jambatan Tamparuli (Low Level Crossing) akan dinaik taraf kepada sebuah jambatan kekal.
Menurut kementerian itu, cadangan projek berkenaan telah memperoleh kelulusan pembiayaan Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
KKR turut mengemukakan permohonan untuk Projek Menggantikan Jambatan Tamparuli (Sungai Tuaran) di Kilometer 35.78, Jalan Kota Kinabalu-Kudat, untuk dipertimbangkan di bawah Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Bagaimanapun, kementerian menjelaskan bahawa keputusan rasmi berhubung kelulusan projek tersebut hanya akan dimuktamadkan selepas pembentangan Bajet Kerajaan 2027.

