Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
IPOH: Seorang lelaki warga tempatan maut selepas terbabit dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku ketika polis menjalankan rondaan cegah jenayah samun di sekitar kawasan berkenaan.
Suspek yang memandu sebuah kenderaan bertindak keluar lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis. Anggota polis membalas tembakan untuk mempertahankan diri.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, CP Datuk M. Kumar, berkata suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kira-kira jam 3.40 pagi. Sepucuk pistol turut ditemukan berhampiran suspek.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh. Jika sabit kesalahan, hukuman penjara sehingga 10 tahun. Sekiranya perbuatan itu menyebabkan kecederaan, hukuman penjara boleh mencecah 20 tahun.
Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 berhubung kesalahan melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan. Kesalahan itu membawa hukuman mati jika disabitkan.
Sumber: Polis Diraja Malaysia
