Lelaki Dicekup Bersama 300 Liter Diesel Bersubsidi

Gambar Op Tiris Tawau

TAWAU: 4 Mei 2026 – Kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi terbongkar setelah seorang lelaki tempatan diberkas dalam satu operasi khas di sebuah stesen minyak di Batu 3, Jalan Apas, di sini, pada petang 2 Mei.

Serbuan sekitar jam 4.40 petang itu dilaksanakan pasukan Task Force Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hasil maklumat risikan yang dijalankan sebelum serbuan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin, memaklumkan lelaki berusia 50 tahun itu gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen dan pemeriksaan mendapati lelaki itu memiliki kira-kira 300 liter minyak diesel bersubsidi.

Pemeriksaan lanjut turut menemui sebuah tangki jenis fiber yang telah diubah suai untuk digunakan sebagai tempat penyimpanan bahan api berkenaan.

Dalam operasi sama, pihak berkuasa merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper, kunci kenderaan, dan tangki simpanan yang digunakan dalam kegiatan tersebut.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM11,445 , yang meliputi kenderaan, diesel, dan peralatan yang dirampas.

Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau.

Tindakan lanjut akan dijalankan melalui siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pihak polis menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan, termasuk bahan api bersubsidi.

Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti sedemikian kepada pihak berkuasa melalui saluran sedia ada, termasuk aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP). Maklumat orang ramai dapat membantu membanteras kegiatan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal