Lebih 3,000 ketua isi rumah sertai program Kebun Dapur Sabah

8e37044e 8d8f 4d77 a0b5 574bf0afc85e.jpg

Oleh David E.

KOTA KINABALU: 31 Oktober 2026 – Selepas 10 bulan program Kebun Dapur Sabah berjalan, lebih 3,000 ketua isi rumah di luar bandar dan kawasan pedalaman Sabah bukan sahaja menanam untuk kegunaan sendiri, malah mula menjual hasil kepada jiran sehingga permintaan semakin meningkat.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata perkembangan itu menunjukkan sambutan positif terhadap inisiatif Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), yang turut melahirkan usahawan kecil dalam kalangan peserta.

“Malahan, ada yang sudah mengusahakan tanaman di kawasan seluas beberapa ekar hasil pengalaman pertama mereka menerusi program Kebun Dapur.

“Setakat ini, statistik yang saya terima dari Jabatan Pertanian Sabah selaku penyelaras program menunjukkan lebih 3,000 ketua isi rumah di luar bandar dan kawasan pedalaman sudah mengusahakan Kebun Dapur di pekarangan rumah masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Agro-Forum 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Jamawi berkata penyertaan 13 mentor Kebun Dapur dalam forum berkenaan memberi peluang kepada usahawan muda sektor pertanian mengetengahkan produk masing-masing menerusi pameran dan jualan.

Menurutnya, usaha itu perlu diperluaskan supaya lebih ramai anak muda yang berjaya dalam bidang pertanian dapat diketengahkan, di samping dibantu dari segi pemasaran dan peluang kerjasama.

Jelasnya, penyertaan kira-kira 13 negara dalam program Big Sabah Sale di SICC turut membuka ruang kepada mentor berkenaan mengembangkan jaringan perniagaan dan kerjasama dengan peserta antarabangsa dan pengunjung.

“Kita bukan mahu setakat 13 mentor ini sahaja. Pada masa akan datang, kita mahu kalau boleh berpuluh-puluh atau beratus-ratus lagi usahawan yang berjaya dalam bidang pertanian dapat diketengahkan dan dibantu dari segi pemasaran,” katanya.

Jamawi berkata inisiatif Kebun Dapur Sabah turut mendapat perhatian Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang melancarkan program Kebun Kendiri di peringkat Persekutuan bulan lalu.

Menurutnya, konsep dan pelaksanaan program berkenaan hampir sama dengan inisiatif yang dilaksanakan di Sabah.

Katanya, program Kebun Dapur bukan sahaja membantu meningkatkan keterjaminan makanan, malah mengurangkan kebergantungan kepada makanan import dan meningkatkan kadar sara diri (SSL) bagi produk pertanian utama yang masih bergantung kepada bekalan luar negara.

Sementara itu, Calvin Chin Situ menyatakan program ini adalah anjuran bersama SICC yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Rosmawati bersama mentor-mentor mempromosi Kebun Dapur ke seluruh Sabah dan Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal