KOTA KINABALU: 23 Oktober 2026 — Kerajaan negeri menggesa agensi penguatkuasaan bertindak tegas melaksanakan larangan meletakkan treler kontena di bahu jalan sepanjang Jalan Pelabuhan Sepanggar dan kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, menegaskan langkah agresif itu perlu diambil segera susulan insiden kemalangan maut yang meragut nyawa pengguna jalan raya baru-baru ini.
“Kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa akibat pemunggahan kontena di Jalan Pelabuhan Sepanggar turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Kerajaan Sabah. Susulan itu, saya akan memanggil perbincangan khas melibatkan agensi penguatkuasaan untuk memastikan pematuhan larangan meletakkan lori treler kontena di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, perbincangan khas itu akan melibatkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Tambahnya, kawasan parkir transit treler kontena yang disediakan KKIP kini dibuka sepenuhnya untuk kegunaan syarikat logistik.
Justeru, semua syarikat pengangkutan kontena digesa memanfaatkan kemudahan itu dan tidak lagi meletakkan kenderaan berat di bahu jalan yang membahayakan orang ramai.
Penyediaan kawasan parkir transit itu merupakan sebahagian daripada 10 pelan tindakan sementara yang dipantau pasukan petugas pelabuhan kontena Teluk Sepanggar yang dipengerusikan beliau sendiri.
Pasukan petugas itu turut menyelaras isu kesesakan akibat keterbatasan kawasan penyimpanan kontena sedia ada, sementara menunggu projek pembesaran pelabuhan siap sepenuhnya menjelang Oktober 2027.
Sumber: Pejabat Timbalan Ketua Menteri III Sabah

