KV Keningau juara empat tahun berturut-turut

d68d380c b966 4db0 9f73 a2226bd26748

Oleh: Nurul.N

KENINGAU: Kolej Vokasional (KV) Keningau muncul juara keseluruhan kategori perantis Sabah Hospitality Fiesta ke-26 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

KV Keningau meraih 21 pingat, iaitu dua emas, 10 perak dan sembilan gangsa, sekali gus mengatasi 16 institusi lain.

Ini kemenangan keempat berturut-turut KV Keningau selepas merangkul gelaran sama pada 2023, 2024 dan 2025.

Tiga pelajar Seni Kulinari, Judd Ryan, Thiery Christian dan Castelina Della, dinobatkan johan acara Masakan Panas Berpasukan.

Dua lagi pelajar, Aleesa Sofea Norhilme dan Nur Haziqah Mairah, masing-masing meraih emas dalam kategori Masakan Panas Makanan Laut Gaya Barat termasuk Ukiran Buah dan Sayur.

Pengarah KV Keningau, Dr. Shamsir Nureddin, berkata kejayaan itu membuktikan kepentingan penguasaan kemahiran dan disiplin tinggi dalam kalangan pelajar.

“Pencapaian ini menunjukkan betapa pentingnya para pelajar menguasai setiap jenis kemahiran yang dipelajari dan sentiasa mengamalkan disiplin yang tinggi untuk memastikan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Menurutnya, usaha itu selaras matlamat pendidikan Kolej Vokasional untuk melahirkan graduan cekap, serba boleh dan mampu menyahut cabaran industri.

Pertandingan anjuran bersama Malaysian Association of Hotels (MAH), Asian Tourism International (ATI) College dan SICC itu turut menerima penyertaan institusi dari negeri lain, menjadikannya pertandingan peringkat kebangsaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal