KPDN bertegas hadapi cubaan catut harga susulan gaji minimum RM2,000

e63648aa cd3d 4a59 ab74 9c5c3c5157cd

KUALA LUMPUR: 29 Oktober 2026 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersiap sedia menghadapi sebarang cubaan mencatut harga susulan pelaksanaan dasar gaji minimum RM2,000 yang berkuat kuasa Jun tahun hadapan.

Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan amaran keras itu dalam ucapan penggulungan peringkat dasar kementeriannya pada perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, kelmarin.

Beliau mendedahkan 850 Pegawai Pemantau Harga (PPH) digerakkan untuk pemantauan harian 316 barangan keperluan di lebih 2,000 premis seluruh negara sebagai langkah pencegahan awal.

“KPDN tidak akan bertoleransi. Tindakan tegas terhadap amalan kartel, pakatan harga dan tipuan bida diperkasakan lagi menerusi penguatkuasaan pindaan Akta Persaingan yang baharu selepas diwartakan pada 23 Oktober lepas,” katanya.

Langkah itu membolehkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bertindak terhadap 18 perusahaan disyaki terlibat kartel tipuan bida membabitkan 30 tender bernilai RM108.3 juta.

Mengenai cadangan mengalihkan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) ke platform dalam talian, Armizan menolak cadangan itu. Terdapat 3,091 rakan strategik PJRM setakat ini; 630 pengusaha kedai runcit kecil dibantu mengekalkan kelangsungan perniagaan.

KPDN turut mengetatkan kawalan ketirisan barangan bersubsidi menerusi integrasi teknologi masa nyata. Strategi serampang tiga mata menerusi eCOSS, Mobile eCOSS dan Ops Tiris 3.0 merekodkan jualan terkawal 168.7 juta paket minyak masak sejak 1 Mei tahun lepas.

Sistem pemantauan terkini dipertingkatkan dengan audit forensik ke atas syarikat pembungkus, integrasi teknologi NFC pada kad pengenalan baharu dan sistem SARA untuk memastikan subsidi negara sampai kepada warganegara yang sah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal